KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mempunyai instinct atau ‘rasa’ bahawa pasukan Selangor FC akan mencipta kejutan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) esok malam.
Bagaimanapun, segala-galanya diserahkan kepada barisan pemain yang akan diturunkan sama ada mampu menterjemahkan kemampuan sebenar mereka atau tidak.
“Memang ada, macam awak ambil penalti, awak ada rasa ini boleh gol atau tidak. Sudah tentu, saya percaya dan yakin kepada pemain yang akan diturunkan.
“Saya rasa ia terpulang kepada pemain sama ada mampu memberikan aksi yang lebih dari kemampuan sebenar mereka dalam aksi final esok,” jelasnya dalam sidang media pra-perlawanan akhir Piala Malaysia yang dilangsungkan di Bilik Sidang Media Stadium Nasional Bukit Jalil.

Andai trofi tertua yang diidamkan setiap pasukan itu menjadi milik Selangor FC, ia merupakan hadiah terbesar jurulatih kelahiran Alor Setar itu untuk dihadiahkan kepada semua yang terlibat dalam kejayaan pasukan Merah Kuning.
“Bukan ganjaran untuk saya. Hadiah untuk pemain, penyokong, pengurusan, dan kesemuanya. Bukan saya seorang. Dalam bola sepak kita bekerja sepasukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Cheng Hoe tidak menganggap hubungan akrabnya bersama pasukan Johor Darul Ta’zim sebagai suatu jaminan bagi Selangor FC meraih kejuaraan ke-34 Piala Malaysia esok.
Menurutnya, aura permainan sudah tentu akan berbeza apabila beraksi di peringkat akhir Piala Malaysia, namun segalanya terpulang kepada pemain untuk membuktikan sama ada mereka mampu mengatasi tekanan tersebut atau tidak.

“Bagi saya disebabkan saya kenal pemain JDT, ia bukanlah suatu jaminan kerana pemain JDT juga tahu corak permainan, taktikal yang akan saya serapkan bersama pasukan Selangor.
“Sudah tentu setiap perlawanan akan berbeza apabila memasuki aksi final. Walaupun saya faham atau tahu setiap kemampuan individu pasukan JDT, ia bukan suatu jaminan pasukan Selangor menang dalam perlawanan esok.
“Sebaliknya yang penting adalah kemampuan individu pada malam esok. Kalau pemain dapat mempamerkan persembahan terbaik, mungkin kita dapat keputusan positif,” katanya.