PERSEMBAHAN cemerlang lapan pemain muda negara pada Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2025 baru-baru ini berjaya menarik perhatian Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh, sekali gus membuka peluang mereka menyertai latihan pusat skuad senior bermula 27 Oktober ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Menurut kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam, enam daripada pemain tersebut berusia sekitar 20 tahun, manakala dua lagi masing-masing berumur 23 dan 26 tahun. Mereka dipanggil berdasarkan prestasi konsisten dan potensi besar yang ditunjukkan sepanjang kejohanan itu.

“Empat pemain berasal dari Pahang iaitu Wan Muhammad Najmi Ahmad Dzaib, Airil Abdul Razak Rahman, Aiman Safwan Hisham dan Muhammad Nor Syakir Hafiz, manakala dua pemain Terengganu ialah Darwisy Hamdan dan Muhammad Yadiy Mohamad Saifuddin. Dua lagi pemain, Zufar Saiful Marsita dan Muhammad Nur Asyraf Ishak, masing-masing mewakili Melaka,” kata kenyataan itu.

Sarjit dalam kenyataan sama menjelaskan, lapan pemain berkenaan menonjol dari aspek kemahiran teknikal, tahap kecergasan, disiplin, serta potensi jangka panjang untuk mengisi skuad utama negara.

Sarjit Singh

Ketua Jurulatih The Speedy Tigers, Sarjit Singh

“Dalam latihan pusat ini, fokus kami adalah melihat sejauh mana mereka mampu menyesuaikan diri dengan tempo latihan dan sistem permainan di peringkat antarabangsa.

“Jika mereka menunjukkan kualiti dan sikap yang baik, peluang untuk disenaraikan ke Piala Sultan Azlan Shah adalah cerah,” katanya.

Latihan pusat ini merupakan sebahagian daripada persiapan skuad kebangsaan menjelang dua kejohanan penting — Piala Sultan Azlan Shah yang akan berlangsung dari 23 hingga 30 November di Ipoh, serta Sukan SEA 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini.

Langkah ini juga menjadi sebahagian daripada usaha MHC memperkukuh barisan pelapis negara dalam misi jangka panjang menuju kelayakan Piala Dunia 2026 dan Sukan Asia 2026.