DUA muka baharu dipanggil dalam senarai 20 pemain terpilih menyertai skuad hoki senior negara, menjalani latihan selama 10 hari di Korea Selatan.
Latihan dan empat siri perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan negara itu, diatur ketua jurulatih lelaki kebangsaan, A Arulselvaraj, sebagai persiapan kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) dari 3 hingga 12 Ogos, di Chennai, India.
Dua muka baharu itu termasuk pemain berpengalaman, Mohd Fitri Saari dan Abdul Khaliq Hamirin, perlu membuktikan kemampuan mereka bersama Speedy Tigers, sepanjang latihan dari 18 hingga 28 Jun ini.

Mohd Fitri Saari kembali dipanggil perkuat skuad kebangsaan.
Arul menyifatkan latihan dan perlawanan persahabatan di Korea Selatan, amat penting untuk menguji tahap keupayaan pemain mengadaptasi sistem permainan baharu yang diterapkan.
“Kami mempunyai satu sistem permainan baharu dan jelajah ini akan kami gunakan sebagai proses eksperimen.
“Selepas pulang daripada Piala Dunia 2023, kami melakukan sedikit perubahan kepada sistem permainan dan ini adalah peluang terbaik untuk pasukan menilai sejauh mana keberkesanan sistem baru yang kami terapkan.

Senarai 20 pemain hoki lelaki bersama Speedy Tigers ke Korea Selatan.
“Jelajah ini juga dapat kami gunakan untuk menilai tahap kondisi fizikal pemain kerana 90 peratus perubahan yang kami lakukan, membabitkan fizikal dan kekuatan pemain. Jadi kami akan menggunakan situasi dalam perlawanan untuk mengujinya.
“Saya juga ingin melihat pemain mengambil tanggungjawab dalam permainan terutamanya dari segi kefahaman taktikal.

Corak permainan baharu diterap Speedy Tigers akan diuji keberkesanannya di Korea Selatan. -A Arulselvaraj.
“Kami juga akan melihat bagaimana permainan pasukan Korea Selatan dan dari situ akan merancang apa penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk baki perlawanan persahabatan.
“Bagaimanapun fokus utama pasukan pada siri jelajah persahabatan ini adalah sistem permainan kami dan juga posisi pemain termasuk kekuatan fizikal mereka untuk bersaing. Terdapat juga sedikit perubahan posisi pemain yang akan saya lakukan pada siri jelajah persahabatan ini,” kata Arul, mengesahkan skuad negara akan berlepas ke Korea Selatan, Ahad ini.

Jadual 4 perlawanan persahabatan skuad hoki lelaki negara menentang skuad kebangsaan Korea Selatan, sepanjang 10 hari menjalani latihan di negara itu.
Latihan di Korea Selatan juga menjadi sebahagian daripada persiapan skuad negara ke Sukan Asia di Hangzhou, China, September depan.
Sebelum ini, Arul merancang skuad negara akan menjalani latihan di Eropah, sudah mendapat persetuajuan menentang pasukan Belanda, Belgium, Perncis dan Sepanyol, namun terpaksa ditukar berikutan Persekutuan Hoki Asia (AHF) membuat perancangan saat akhir, menganjurkan ACT.