PENYERANG kebangsaan, Darren Lok mahu membawa prestasi cemerlangnya bersama Sabah FC di Piala AFC ke skuad kebangsaan dan bersedia untuk merobek gawang Republik Krygyz pada aksi Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Khamis ini.

Penyerang itu sudah menjaringkan lima gol dalam empat penampilan bersama Sabah FC di Piala AFC dan dia bersedia meneruskan rentak itu dalam dua aksi awal peringkat kelayakan itu nanti.

Darren yang ditemui ketika sesi latihan rasmi skuad Harimau Malaya di Wisma FAM turut mengakui bahawa persiapan pasukan berjalan lancar meskipun ada beberapa pemain yang tiba lewat kerana mempunyai komitmen bersama kelab dan semuanya bersemangat untuk memburu kemenangan pertama.

“Persiapan berjalan lancar dengan skuad penuh selepas beberapa pemain tiba sedikit lewat tetapi semuanya berjalan lancar. Berbaki dua hari sebelum perlawanan, kami hanya perlukan memperbaiki beberapa perkara kecil namun semuanya baik.

“Prestasi saya baik di peringkat kelab dengan menjaringkan gol yang banyak di kejohanan Piala AFC dan ianya bagus tetapi kini dengan skuad kebangsaan fokus saya mahu menjaringkan gol kerana sebagai seorang penyerang itu lebih penting dan saya akan berikan yang terbaik,” katanya.

Pemain warisan berusia 32 tahun itu juga tidak menganggap perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu nanti sebagai tekanan tambahan kerana mereka semua sudah bersedia dan menjangkakan aksi yang sukar apabila menentang lawan yang mempunyai ranking lebih tinggi.

“Setiap perlawanan dengan pasukan kebangsaan mempunyai tekanan tersendiri tetapi meskipun kami mempunyai kejohanan Piala Asia yang dinantikan pada Januari, tetapi perlawanan Khamis ini sangat penting kerana jika dilihat pada kumpulan kita, Malaysia bertuah kerana berhadapan dengan pasukan yang kita mampu saingi.

“Kami sudah menonton video permainan Republik Krygyz dan faham ianya sentiasa sukar berhadapan dengan pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi dan kami jangkakan. aksi yang sukar tetapi kami telah bersedia untuk berikan aksi terbaik,” jelasnya yang mahukan sokongan padu penyokong di stadium nanti.

Darren dijangka mengepalai barisan serangan Harimau Malaya untuk mencari gol bagi memastikan tiga mata pertama berjaya dicatat dan memberikan pembukaan yang positif buat skuad negara.