PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memutuskan untuk tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) sekali gus tidak akan berada di bawah program Road to Gold (RTG).

Sekretariat RTG hari ini bertemu dalam talian dengan Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) dan disimpulkan bahawa Lee Zii Jia tidak akan meneruskan program RTG.

Dalam pertemuan itu, Pasukan LZJ diwakili oleh jurulatihnya, Wong Tat Meng dan Liew Daren serta kakak dan pengurusnya Lee Zii Yii, menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang teliti dan perundingan dalaman dengan Lee Zii Jia tidak akan memerlukan tambah nilai perkhidmatan yang ditawarkan RTG.

“Namun begitu, Pasukan LZJ memberi jaminan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan seperti Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara menjelang Sukan Olimpik Paris tahun hadapan,” menurut kenyataan Sekretariat RTG pada Selasa.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa RTG, memaklumkan Zii Jia satu-satunya daripada 15 atlet yang tersenarai dalam RTG, belum menandatangani kontrak perjanjian persetujuan berkenaan.

Dia diberikan tempoh selama 14 hari sehingga hari ini bagi melengkapkan komitmen berkenaan.

RTG adalah sebuah program yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi bagi memenangi pingat emas buat Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Semua atlet yang terpilih dalam RTG akan diberikan sokongan tambahan bagi membantu mereka merelisasikan impian memenangi pingat di temasya terbesar dunia itu.

Ia termasuklah sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) merangkumi keperluan psikologi, fisioterapi, tukang urut, analisis video dan perkhidmatan lain yang disediakan ISN. Atlet juga diberikan elaun sebanyak RM3,000 sebulan.

ARTIKEL BERKAITAN : Lee Zii Jia sudah sampai Jepun, belum tandatangan LOC sertai RTG

Ketika ini, seramai 15 atlet dipilih berada dalam program RTG iaitu dua jaguh berbasikal, Datuk Azizulhasni Awang dan Mohd Shah Firdaus Sahrom; dua gandingan terjun sensasi, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri serta badang angkat berat, Mohd Aniq Kasdan.

Bakinya adalah sembilan pemain badminton iaitu perseorangan lelaki, Zii Jia dan Ng Tze Yong; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Onh Yew Sin-Teo Ee Yi; beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran; Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.