PASUKAN-pasukan yang bersaing di TM Piala Malaysia 2022 tidak melihat format undian musim ini yang dibuat sebelum Liga Super berakhir sebagai satu masalah besar.
Bagi mereka, berdasarkan beberapa baki perlawanan yang tinggal, semua pasukan hanya memikirkan mengenai memperbaiki kedudukan selain mendapatkan rentak positif sebelum TM Piala Malaysia bermula.
Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, berkata, semua pihak harus positif dengan pendekatan undian yang digunakan oleh MFL (Liga Bolasepak Malaysia).
“Saya tahu ramai yang mungkin kurang senang cara undian ini yang boleh dianggap masih baharu tetapi saya fikir dari segi positif.
“Memandangkan hanya tinggal 2-3 perlawanan, saya tidak fikir pasukan akan bermain sambil lewa sambil sudah tentu menyasarkan kedudukan liga yang lebih baik.
“Jadi untuk jurulatih serta pemain, kita cepat sesuaikan diri dengan sistem undian sebegini selain perlu bersikap profesional serta bermotivasi bagi bantu pasukan,” katanya.
Bagi ketua jurulatih Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan, beliau melihat kedudukan undian itu bukan satu isu besar kerana percaya semua pasukan boleh bersikap profesional.

Zainal Abidin Hassan. Foto: Penang FC
Malah beliau sendiri tidak ada perancangan untuk memilih di mana kedudukan akhir mereka sama ada di LS10 iaitu berdepan Kelantan FC atau LS11 yang akan bertemu Kuching City FC di pusingan 16.
“Kita di sudah era profesional jadi maruah pasukan amat penting dan saya fikirkan,pasukan akan bertungkus lumus sehingga pengakhiran liga.
“Seperti saya, tidak fikirkan siapa yang akan menjadi lawan kami kerana fokus Penang masih mahu cuba meraih seberapa mata di Liga Super dan menutup cabaran dengan lebih menyakinkan,” katanya.
Undian TM Piala Malaysia 2022 yang berlangsung semalam memperlihatkan hanya kedudukan pasukan diundi (pasukan Liga Super) untuk mengisi posisi yang ditetapkan bagi saingan pusingan 16.
Hanya 5 pasukan Liga Premier sahaja telah mengetahui nasib masing-masing seperti Kelantan, Kuching City FC, Kelantan United FC, PDRM FC dan UiTM FC.