DETIK unik terjadi dalam Formula E India 2023 di Litar Hyderabad, India pada Jumaat lepas apabila penduduk tempatan memasuki ke dalam litar menggunakan motosikal dan kereta.

Kejadian ini berlaku sebelum sesi Latihan Bebas Pertama (FP 1) pada petang Jumaat waktu tempatan. Kesesakan lalu lintas yang teruk di luar kawasan litar akibat waktu sibuk untuk aktiviti pekerja menyebabkan beberapa pemandu berkeras untuk melintasi kawasan litar Formula E India.

Semasa siri perlumbaan, terdapat pelarasan kepada aliran trafik. Ini mengakibatkan kepadatan kenderaan di beberapa tempat, sehingga pegawai tempatan mengalihkan sekatan jalan dan penduduk memasuki litar untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Sesi latihan pertama yang dijadualkan bermula pada 4.30 petang waktu tempatan ditangguhkan selama sejam. Menurut beberapa sumber, polis membuka penghadang di tengah-tengah pergerakan masa pada waktu puncak,” tulis laporan Sport Star.

“Beberapa sumber mengesahkan penduduk mendesak dan berlaku pertelingkahan antara penduduk dan polis. Jalan menuju ke litar ditutup dan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang panjang,” sambung laporan itu.

Badan tertinggi untuk perlumbaan kereta dunia (FIA) dalam satu kenyataan rasmi menyifatkan kejadian ini amat mengejutkan. Mereka meminta agar perkara yang sama tidak berulang pada masa hadapan.

“Ini benar-benar mengejutkan. Rakyat dan kenderaan berada di litar. Ini mesti diselesaikan segera dan tidak boleh diteruskan. Kami berharap tidak akan ada gangguan lagi pada masa akan datang,” tulis kenyataan FIA.