PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton berjaya menamatkan perlumbaan ke-300 dalam karier Formula Satu apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada Grand Prix Perancis semalam.

Hamilton menyertai Kimi Raikkonen, Fernando Alonso, Rubens Barrichello, Michael Schumacher dan Jenson Button dalam kumpulan pemandu yang melakukan 300 perlumbaan ketika berlumba di Litar Paul Ricard dengan keputusan terbaik buatnya musim ini.

Dari 300 penyertaan, Hamilton berjaya muncul juara dunia tujuh kali dengan 103 kemenangan dan 103 petak utama. Selain itu dia turut menaiki podium sebanyak 186 kali dan mencatat 60 masa terpantas sepanjang 16 tahun.

Juara dunia tujuh kali itu mengekori pemenang Max Verstappen dan selesa mendahului rakan sepasukan George Russell dan menganggapnya sebagai podium yang istimewa dan mengenang kembali perjalanan kariernya.

Hamilton berkata dia hanya memikirkan tentang kesemua individu yang banyak membantu dirinya dalam Formula Satu hingga menjadi salah satu ikon sukan permotoran ini.

“Ini adalah perlumbaan saya yang ke-300. Saya tidak terlalu memikirkan tentangnya dan hari ini ketika saya bangun pagi saya berasa hebat dan bersyukur dengan hanya memikirkan mereka yang sentiasa bersama saya sepanjang karier.

“Kepada Ron Dennis dan Mercedes yang memberikan saya peluang ketika kecil. Martin Whitmarsh, Mansour Ojjeh, Toto Wolff, Niki Lauda, Ola Kallenius Britta Seeger dan Dieter Zetsche, kesemua individu ini telah menyokong saya sejak berumur 13 tahun.

“Untuk bersama-sama dalam perjalanan hebat ini dengan mereka, saya menyertai perlumbaan dengan semua enjin Mercedes. Saya berasa bangga untuk berada di podium ini menwakili kesemua mereka beserta teman sepasukan, kata Hamilton selepas perlumbaan.

Meskipun masih tidak dapat menandingi kelajuan Red Bull dan Ferrari, Hamilton tetap percaya pasukannya mampu untuk bersaing dan akan terus bekerja keras untuk merapatkan kedudukan dan bergelar pemenang sekali lagi.

“Kami perlu terus bekerja kereas. Setiap minggu perlumbaan kami berharap agar kami lebih rapat. Minggu ini di Grand Prix Perancis kami berjaya menunjukkan yang kami semakin dekat seperti yang diharapkan dan ia memberikan harapan positif buat kami,” tambah pemandu British itu.

Dengan George Russell juga berjaya mendapat tempat ketiga, Hamilton berkata ianya memberikan mereka keyakinan menjelang cuti musim panas walaupun mengakui masih banyak perbezaan antara mereka dan Red Bull serta Ferrari.

Hamilton akan memacu Mercedes dalam satu lagi perlumbaan hujung minggu ini pada Grand Prix Hungary sebelum cuti musim panas selama sebulan dengan Hamilton kini ketinggalan 106 mata dibelakang pendahulu, Max Verstappen.