PEMANDU Britain, Lando Norris menamatkan musim Formula Satu (F1) 2025 dengan penuh bergaya apabila mengesahkan gelaran juara dunia pertama dalam kariernya, sekaligus menamatkan rekod cemerlang Max Verstappen yang menguasai kejuaraan selama empat tahun berturut-turut.

Dalam perlumbaan penutup musim di Grand Prix Abu Dhabi, Norris menamatkan saingan di tempat ketiga—kedudukan yang mencukupi untuk memastikan gelaran dunia menjadi miliknya.

Verstappen, yang meraih lapan kemenangan sepanjang musim ini, menjuarai perlumbaan terakhir, manakala rakan sepasukan Norris di McLaren, Oscar Piastri, mengakhiri saingan di tempat kedua.

Norris, kini bergelar juara dunia F1 ke-11 dari Britain, mengumpul 423 mata sepanjang musim, menewaskan Verstappen (421 mata) dan Piastri (410 mata) dalam perebutan gelaran yang dianggap antara paling dramatik dalam era moden F1.

Keputusan itu turut melengkapkan musim gemilang McLaren, yang sebelum ini telah mengesahkan kejuaraan pengeluar, menjadikannya musim pertama sejak 1998 mereka meraih kedua-dua gelaran utama dalam F1.