DUA gol jaringan Sara Joy membolehkan Galaxy Social Team merakam kemenangan 3-0 ke atas Mixstar dalam perebutan Piala Madani dalam saingan bola sepak Liga Super Wanita Kuala Lumpur (KLWSL) 2024 di Padang Arena Azman Hashim, HUKM, Sabtu.

Galaxi yang dikendalikan Chris Looi memulakan perlawanan dengan baik apabila hanya memerlukan 11 minit untuk membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Sara, selepas bola terkena tangan salah seorang pertahanan lawan dalam kawasan penalti mereka.

Tersentak dengan jaringan lawan, Mixstar mula menggandakan asakan namun, pertahanan Galaxy yang diterajui Nur Athirah Farhanah Zairi kekal kebal mematahkan segala ancaman lawan untukn memastikan gawang mereka tidak dibolosi tamat babak pertama perlawanan.

Masuk babak kedua, Chris melakukan beberapa pertukaran taktikal dalam kesebelasan pasukannya untuk memberi variasi baru permainan pasukannya yang mampu memberi kesukaran buat lawan menangkis serangan mereka.

Usaha Galaxy akhirnya berhasil pada minit 68 apabila Risa Kawai menemui sasaran menerusi percubaan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Mixstar, Izzatul Husna Hussin yang hanya sekadar melihat percubaan itu menerjah gawangnya.

Jaringan itu memberi keyakinan buat Galaxy untuk terus mendominasi perlawanan dengan beberapa percubaan merbahaya berjaya dilakukan mereka dalam usaha meraih gol ketiga, sekaligus mengesahkan kejuaraan.

Gol ketiga yang dicari akhirnya kunjung tiba pada minit akhir perlawanan menerusi jaringan kedua Sara yang melakukan lob mengelirukan Izzatul dan sekaligus mengesahkan kemenangan buat Galaxy.

Kemenangan ini juga tampak mengubati kegagalan Galaxy melangkah ke separuh akhir KLWSL 2024. Ketenangan Risa mengawal bahagian tengah serta meraih gol kedua pasukan, membolehkannya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala Madani.

Dalam pada itu, Wangsa Maju City yang dilatih bekas pertahanan Felda United dan PKNS FC, Nidzam Abu Bakar berjaya meraih tempat ketiga KLWSL selepas mencatat kemenangan 4-1 ke atas KL Sunbears pada aksi penentuan tempat ketiga-keempat KLWSL yang turut berlangsung di Padang Arena Azman Hasim.

Hadiah kepada Galaxy selaku juara Piala Madani dan Wangsa Maju City selaku pemenang tempat ketiga KLWSL disampaikan Pengerusi Komuniti Madani (Parlimen Bandar Tun Razak) Hanif Lokmanal Hakim.