PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak kisah siapa pun lawan mereka di peringkat suku akhir Piala Malaysia kerana tahu jika ingin muncul juara, mereka perlu memenangi kesemua perlawanan.

Dia berkata demikian selepas JDT mudah menewaskan Kuala Lumpur Rovers 6-0 pada aksi kedua Pusingan 16 sekaligus layak ke suku akhir dengan aggregat 9-0 dan dia juga menganggap kejohanan ini sangat penting buat Harimau Selatan.

“Bagi kami piala ini cukup penting dan perlawanan ini sangat penting. Saya gembira dengan persembahan semua pemain terutama beberapa pemain muda kerana mereka berikan segalanya dan ini penting buat kami untuk kami terus berkembang sebagai satu pasukan pada perlawanan-perlawanan akan datang.

Bidoglio mahu JDT kekalkan fokus dan sentiasa konsisten dalam setiap perlawanan

“Tidak kisah siapa pun lawan kami di suku akhir, kami hanya perlu fokus kepada diri sendiri dan berkembang sebagai satu pasukan dengan permainan dinamik dan intensiti yang tinggi. Kami perlu memenangi setiap perlawanan jika mahu layak ke final,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Jurulatih asal Argentina itu juga mengakui pasukannya perlu lebih baik dan memperbaiki kelemahan ketika ‘set pieces’ kerana JDT mensia-siakan 15 sepakan sudut yang tidak dapat menjelmakan jaringan dalam perlawanan.

Selain itu dia juga gembira dengan aksi yang ditunjukkan bekas pemain Real Madrid, Jese Rodriguez yang baginya kini menambah pilihan pemain untuk diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan bagi mengharungi musim yang masih panjang.

Jese Rodriguez menjaringkan gol pertama bersama JDT dalam perlawanan kompetitif

“Saya tahu ‘set pieces’ sangat penting dalam mana-mana perlawanan kerana anda boleh memenangi perlawanan dengannya. pada pendapat saya kami semakin baik tahun ini tetapi masih perlu memperbaiki ‘set pieces’ kami.

“Jese bekerja keras setiap sesi latihan dan dia tiba lewat disini tanpa mengikuti kempen pramusim tetapi dia membuktikan dia pemain yang berkualiti dan saya gembira kerana kini saya mempunyai banyak pemain berkualiti untuk dipilih,” jelasnya.

JDT layak ke suku akhir menerusi dua jaringan Bergson Da Silva dan masing-masing satu dari Jese Rodriguez, Mohamadou Sumareh, Corbin Ong dan satu jaringan sendiri untuk memberikan kegembiraan buat lebih 7,000 penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim.