PASUKAN Penang FC menyatakan sokongan terhadap pandangan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berhubung keperluan semua kelab melakukan pengorbanan bagi memastikan kelangsungan Liga Malaysia (Liga M).

Dalam satu kenyataan, Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew Gim Eam menegaskan pihaknya menyambut baik pendekatan tersebut dan percaya sudah tiba masanya untuk semua kelab duduk semeja bagi membincangkan isu semasa liga secara terbuka.

Menurutnya, cabaran yang dihadapi ketika ini, khususnya melibatkan aspek kewangan dan struktur liga, memerlukan penyelesaian bersama yang realistik serta bersepadu.

“Kami bersedia untuk menyumbang idea dan memainkan peranan kami termasuk membuat keputusan yang sukar sekiranya perlu, demi kebaikan bersama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha membina liga yang lebih stabil, kompetitif dan berdaya komersial perlu menjadi keutamaan demi manfaat semua pihak termasuk kelab, pemain dan penyokong.

Penang FC juga menyatakan komitmen untuk terus menjadi sebahagian daripada usaha kolektif dalam memperkukuh ekosistem bola sepak tempatan.

Dalam masa sama, kelab itu berharap perbincangan konstruktif dapat diadakan dalam masa terdekat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu yang melanda Liga M ketika ini.

Kenyataan tersebut hadir ketika beberapa pasukan terus berdepan cabaran kewangan, sekali gus menuntut pendekatan menyeluruh daripada semua pemegang taruh dalam industri bola sepak negara.