MALAYSIA sekali lagi mengharapkan sentuhan emas Khiew Hoe Yean di Sukan SEA Thailand (9-20 Disember) memandangkan proses “revamp” renang negara dijangka memakan masa sehingga sedekad.
Timbalan Presiden Malaysia Aquatics (MAS), Marilyn Chua berkata selain Hoe Yean, peluang pingat emas turut dilihat dalam acara 4x200m gaya bebas lelaki dan 4x100m gaya ganti wanita, namun mengakui saingan acara individu lain terlalu sengit.
Hoe Yean sebelum ini merangkul emas 200m gaya bebas lelaki di Sukan SEA Hanoi 2021 dan Phnom Penh 2023, yang juga satu-satunya emas renang negara pada kedua-dua edisi tersebut.
Perenang berusia 22 tahun itu dijangka menjadi pencabar utama dalam acara 200m dan 400m gaya bebas di Thailand nanti.

Timbalan Presiden Malaysia Aquatics (MAS), Marilyn Chua yakin Khiew Hoe Yean mampu menjadi pemimpin kepada perenang muda.
“Hoe Yean adalah perenang utama kita dan semestinya kita bergantung harap kepadanya untuk bawa pulang emas,” kata Marilyn selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma OCM, semalam.
Beliau berkata MAS kini masih dalam fasa membina semula program pembangunan renang negara dari awal dengan jurulatih baharu, satu proses jangka panjang yang dijangka hanya membuahkan hasil dalam tempoh lapan hingga 10 tahun.
MAS akan menghantar kontinjen besar ke Sukan SEA Thailand merangkumi 27 perenang, enam penerjun, 17 perenang artistik, 14 pemain polo air dan lima perenang perairan terbuka, termasuk menghantar skuad penerjun muda yang akan memburu empat emas yang ditawarkan dalam acara terjun.