TERENGGANU Polygon Cycling Team (TSG) sedang berusaha membawa pulang pelumba dan kru mereka yang terkandas di Alanya, Turkiye ekoran kejadian gempa bumi di negara itu, semalam.
Menurut Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus, pelumba dan kru pasukan itu berada dalam keadaan selamat setelah Jelajah Antalya yang dijadualkan 9 Februani dibatalkan.
Beliau berkata, walaupun berada kira-kira 500 kilometer dari pusat gempa bumi di bandar Gaziantep, Turkiye, mereka turut merasai kesan gegaran 7.8 skala Richter itu, semalam.
“Jelajah Antalya bertaraf 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang sepatutnya berlangsung 9 sehingga 12 Februari telah dibatalkan oleh penganjur ekoran kejadian itu.
“Antara pelumba yang berada di Alanya adalah Aiman Cahyadi, Wan Abdul Rahman Hamdan, Mohd Shahrul Mat Amin, Metkel Eyob dan Anatolii Budiak serta dua orang kru.
“Mereka turut cemas setelah tempat penginapan didiami bergegar ketika kejadian gempa bumi berlaku namun Alhamdulillah semua selamat,” jelasnya ketika dihubungi FLASH SUKAN pada Selasa.
Jelas beliau lagi, pihak pengurusan berdepan kesukaran membawa pulang pelumba dan kru TSG ekoran kesesakan lapangan terbang yang menjadi tumpuan dunia bagi misi bantuan kemanusiaan.
Katanya, mereka dijangka pulang dalam masa terdekat dengan tumpuan kini dialih kepada kejohanan Klasik Muscat, Oman pada 10 Februari dan Jelajah Oman, 11 sehingga 15 Februari.
“Insiden ini tidak akan menjejaskan semangat pasukan untuk terus memburu mata dalam ranking UCI dalam misi memburu kedudukan pertama pasukan benua.
“TSG juga akan mengambil bahagian pada Jelajah Rwanda (19 sehingga 26 Februari) disusuli Jelajah Malaysia pada 26 Februari sehingga 2 Mac depan,” katanya.