SKUAD hoki remaja negara sedia menggalas cabaran Piala Dunia Hoki Remaja 2025 FIH di Tamil Nadu, India hujung bulan ini dengan sokongan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus menjadi suntikan semangat buat skuad negara.
Dalam misi membawa nama Malaysia ke pentas dunia, skuad muda itu mengakui bahawa perjalanan mereka ke tahap ini tidak akan terlaksana tanpa sokongan jangka panjang TNB yang merangkumi program akar umbi dan pembangunan pelapis hoki negara.
Kapten pasukan, Muhammad Danish Aiman Khairil Anwar, berkata program pembangunan seperti Thunderbolts ini sememangnya antara elemen penting dalam membentuk generasi pemain pelapis yang mampu menggalas harapan negara.

Kapten pasukan, Muhammad Danish Aiman Khairil Anwar (Tengah)
“Program seperti Thunderbolts ini terbukti memainkan peranan penting buat sukan hoki negara kerana kita dapat mencari pelapis yang akan bermain untuk negara. Malah rata-rata pemain senior juga terhasil daripada program Thunderbolts ini,” katanya.
Danish menegaskan bahawa sokongan TNB bukan sahaja membantu menyediakan program latihan yang tersusun, malah membuka peluang kepada pemain muda untuk membina keyakinan dan kematangan permainan di peringkat kompetitif.
Danish menegaskan peranan besar TNB penting dalam memastikan pembangunan hoki negara berjalan lancar dan memberi kesan positif kepada generasi baharu pemain.
“Terima kasih kepada TNB kerana telah banyak menyokong pasukan hoki negara, kami akan buat yang terbaik di FIH Piala Dunia Hoki Remaja nanti,” katanya.
Penghargaan itu turut menjadi motivasi tambahan bagi skuad remaja untuk memburu kemenangan di kejohanan dunia tersebut.
Dengan gabungan persiapan rapi, semangat juang tinggi dan sokongan berterusan daripada TNB, skuad hoki remaja negara kini bersedia membawa harapan Malaysia untuk menyaksikan skuad melakar kejayaan di pentas dunia.