PENGENDALI Pahang Rangers, Gerard Casas tidak melihat pasukannya sebagai pilihan untuk menjuarai Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024 sebaliknya melabelkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor sebagai pasukan untuk mencabar kejuaraan.

Ini kerana juara berganda MPFL 2023 itu kehilangan 8 dari 14 pemain utamanya musim ini namun dia tetap yakin para pemainnya mampu memberikan cabaran terbaik dalam usaha mempertahankan kejuaraan musim ini.

Casas juga gembira dengan persiapan yang dilakukan dan kini bersedia untuk menghadapi musim baharu MPFL menentang Shah Alam City di laman lawan dalam aksi pembukaan pada Sabtu.

“Persiapan berjalan lancar dan kami berlatih dengan gigih kerana banyak pemain baharu menyertai skuad dengan pramusim yang cukup mencabar dan sukar tetapi saya gembira kerana pemain menunjukkan usaha yang bagus.

“Perlawanan menentang Shah Alam City di tempat lawan sudah pasti sukar kerana sejujurnya mereka mempunyai skuad yang baik untuk bersaing dengan sesiapa pun dan mereka pasti mempunyai kelebihan kerana bermain di laman sendiri tetapi kami akan hadir untuk memberikan saingan sengit.

“Kami tidak melihat diri sendiri sebagai pencabar utama kerana kami kehilangan lapan dari 14 pemain musim lalu yang mana adalah pemain senior. Pada pendapat saya tekanan dan rasa ingin menang terletak pada JDT kerana mereka mempunyai pemain berpengalaman dan bajet yang besar.

Pasukan futsal JDT

“Selangor juga semakin meningkat dengan usaha kewangan yang besar untuk mengekalkan semua pemain utama kerana sedar akan kekuatan mereka dan dua pasukan ini saya lihat adalah pencabar kejuaraan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN. 

Mempunyai skuad yang lebih muda musim ini menyebabkan Gerard sering mengingatkan para pemainnya agar tidak terlalu tertekan sebaliknya mahu mereka belajar menjadi satu pasukan yang lebih baik secara satu kumpulan.

“Saya beritahu kepada para pemain supaya tidak berasa tertekan untuk fokus kepada keputusan dan kejuaraan kerana mereka akan lemas sebaliknya mahu mereka belajar dan berkembang bersama-sama kerana kami mempunyai skuad yang muda musim ini,” jelasnya.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu juga nyata gembira apabila berjaya mendapatkan dua pemain import berkualiti dari Brazil, Murilo Carlos Saad dan Felix De Souza yang dianggap bukan sahaja pemain yang bagus tetapi sebagai individu yang cemerlang.

“Saya sangat gembira apabila dapat menandatangani dua pemain import ini kerana sudah lama menyaksikan dan berhubung dengan mereka. Mereka berdua sangat bagus sebagai pemain dan individu dan kini serasi dengan pasukan yang membuatkan saya berpuas hati bukan hanya dengan kesesuaian taktikal tetapi juga keharmonian dalam bilik persalinan,” tambahnya.

Pahang Rangers bakal memulakan kempen mempertahankan kejuaraan bertemu Shah Alam City dan tiga mata pastinya ditagih Casas bagi memastikan permulaan yang positif dapat dicapai.