TIGA tahun berturut-turut melangkah ke final, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akhirnya merangkul kejuaraan Terbuka Switzerland 2024.
Malah, gandingan di ranking ke-14 dunia itu turut memberi tamparan hebat buat pasangan yang ditundukkan mereka, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dalam perlumbaan ke Sukan Olimpik Paris.
Sejak kemerosotan ranking dunia, Soon Huat-Shevon berjaya menamatkan badi kekalahan di pentas final sebanyak dua kali dengan menewaskan Tang Jie-Ee Wei di ranking kesembilan dengan keputusan strainght set 21-16, 21-13 pada aksi final yang berlangsung di St Jakobshalle di Basel.
Pasangan yang seakan pasti layak ke Olimpik Paris, Tang Jie-Ee Wei beraksi di bawah tahap prestasi dan segala-galanya bagaikan tidak menjadi buat mereka yang diletakkan sebagai pilihan, apabila banyak melakukan kesilapan mudah yang kemudiannya dihukum Soon Huat-Shevon untuk mendominasi permainan sejak dari awal sekali gus merangkul gelaran sulung Terbuka Switzerland.
Untuk rekod, ini adalah kali pertama wakil Malaysia muncul juara dalam acara beregu campuran di Terbuka Switzerland sejak kejohanan diperkenalkan pada 1955.
Soon Huat-Shevon dua kali berturut-turut kempunan untuk bergelar juara Terbuka Switzerland selepas tewas dalam aksi final edisi 2022 dan 2023.
Ini adalah gelaran ketiga mereka dalam saingan Jelajah Dunia BWF sepanjang kerjaya selepas mengungguli Terbuka Jerman dan Terbuka Singapura pada 2018.
Selaku juara Terbuka Switzerland, Soon Huat-Shevon membawa pulang hadiah wang tunai AS$16,590 (RM78,583) manakala Tang Jie-Ee Wei $7,980 (RM37,799).
Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei terus gagal dalam misi untuk merekodkan gelaran sulung mereka musim ini susulan kekalahan itu.
Pencapaian terbaik mereka musim ini adalah muncul naib juara Masters Thailand, bulan lalu.