KEM latihan di Denmark dilihat sebagai pemangkin penting buat pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong untuk membina semula tahap permainannya menjelang saingan Piala Thomas.
Wei Chong kini lebih fokus menggunakan tempoh latihan tersebut untuk memperkemaskan aspek permainan yang masih belum konsisten, terutama dari segi intensiti dan keserasian di gelanggang.
Menurutnya, peluang menjalani latihan dalam suasana kompetitif di Eropah memberi ruang terbaik untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pantas yang sering ditampilkan pasangan bertaraf dunia.
Situasi ini berbeza dengan persiapannya sebelum ini apabila kekangan masa menyebabkan beliau turun beraksi tanpa persediaan yang cukup, sekali gus menjejaskan rentak permainannya di Kejohanan Badminton Asia (BAC).
Bagaimanapun, Wei Chong menegaskan prestasi tidak menentu itu bukan berpunca daripada kecederaan lama, sebaliknya lebih kepada persediaan yang tidak mencukupi.
Kini, dengan tempoh latihan lebih terancang di Denmark, beliau yakin dapat meningkatkan semula keyakinan serta ketajaman permainan menjelang kejohanan berpasukan itu.
Malaysia bakal memulakan cabaran di Piala Thomas bermula 24 April hingga 3 Mei ini, dengan kem latihan tersebut diharapkan menjadi asas penting dalam usaha mengembalikan prestasi terbaik Wei Chong.