MESKIPUN terpaksa bermandi peluh sebelum menang ke atas Penang FC, pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner tetap berpuas dengan aksi anak-anak buahnya, malam tadi.

Menurut jurulatih kelahiran Croatia itu, Sang Penyu berhak mengutip tiga mata penuh dengan penguasaan 90 minit permainan serta deretan peluang terhidang.

Tomislav berkata, percaturan taktikal pada babak kedua mengubah tempo permainan lebih agresif selepas persembahan hambar dalam 45 minit pertama.

Walaupun jadi sasaran kecaman penyokong, Liridon Krasniqi tetap berfungsi dengan baik di jentera tengah skuad Penyu.

“Sebelum perlawanan lagi saya tekankan bahawa semua pemain perlu menyuntik dimensi dalam permainan termasuk dari bangku simpanan dan malam ini (semalam) saya melihatnya.

“Selepas kemasukannnya, Nik Sharif Haseefy hadir dengan larian deras dari sebelah tepi selain memiliki dua atau tiga peluang terbaik yang dinafikan penjaga gol lawan.

“Saya berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan Nik Sharif dan Engku Nur Shakir walaupun mereka masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua,” jelasnya kepada FLASH SUKAN, semalam.

Sony Norde banyak memporak-porandakan benteng pertahanan Penang FC.

Dalam aksi malam tadi, TFC dipaksa bekerja keras sebelum umpanan Sony Norde disudahkan dengan baik oleh Engku Nur Shakir untuk gol tunggal perlawanan minit ke-75.

Kemenangan tipis itu membolehkan TFC naik ke zon pertengahan liga ke tempat ketujuh mengumpul 17 mata daripada 12 perlawanan, dua mata di belakang KL City FC.

“Ini adalah kemenangan penting selepas keciciran mata bertemu Sri Pahang dan Sabah. Malah memberi keyakinan untuk menghadapi aksi kalah mati suku akhir Piala FA, Sabtu ini.

“Secara keseluruhan saya lihat TFC berhak mengalahkan Penang FC selepas menguasai permainan. Walaupun gagal menambah kelebihan jaringan, saya gembira dengan keputusan ini,” ujarnya.