PASUKAN golf amatur negara berjaya melakar kemenangan buat kali ketiga berturut-turut dalam Kejohanan Golf Amatur Dunia 2023 yang berlangsung di Phuket baru-baru ini.

Kelima-lima ahli pasukan yang memenangi kejuaraan di Phuket termasuk Mohd Rizal Mohmad Sahibek, Muhamad Azwan Md Azmi, Mohammed Faisal Hussain, Mohd Aizuddin Khalid, Muntahar Asmarah, dan ketua pasukan Khairul Nizam Ayob.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir pada majlis untuk meraikan pencapaian lima rakyat Malaysia tersebut turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kerana telah menunjukkan contoh dedikasi dan keazaman yang baik untuk menjadi juara dunia.

“Kementerian saya meletakkan keyakinan pada pendekatan holistik dalam melatih atlet untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing. Sokongan akan terus diberikan kepada badan sukan negara untuk melatih atlet-atlet baru dan membantu mereka bersaing di arena global,” jelas Hannah.

Hannah juga merakamkan keterujaannya apabila sukan golf di Malaysia telah mendapat sokongan besar daripada syarikat korporat Malaysia seperti Perodua.

Syarikat Perodua ini sudah tidak asing lagi dalam dunia golf kerana mereka juga masih konsisten menjadi penaja utama acara Golf Amatur yang sering diadakan di Malaysia.

Selain itu, Hannah berharap agar lebih banyak syarikat korporat akan turut serta dalam menaja acara dan atlet sebagai satu usaha untuk mencapai kecemerlangan.

“Penajaan seharusnya dilihat sebagai perkongsian untuk mencapai kecemerlangan dan bukan hanya sebagai tanggungjawab sosial korporat. Atlet kita berada di peringkat antarabangsa yang pastinya mencabar jadi penajaan yang lain boleh dijadikan perbezaan iaitu untuk menang atau sekadar mengambil bahagian,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi Perodua Malaysia, JH Rozman Jaafar, yang menyatakan kebanggaannya apabila melihat Perodua telah memberi peranan besar dalam menentukan peluang Malaysia di Phuket.

Sementara itu, Siri Amatur Kebangsaan Perodua 2023 telah mencapai detik kemuncaknya dengan perlawanan akhir di Els Club Datai di Langkawi selepas habis menerokai kesemua 14 negeri.