PELUANG Terengganu FC (TFC) mara ke separuh akhir Zon Piala AFC makin sukar apabila sekadar menang 2-0 ke atas Bali United dalam aksi terakhir Kumpulan G, Rabu malam.

Keputusan itu menyaksikan TFC berkongsi 12 mata dengan Phnom Pehn Crown dari Kumpulan F selaku naib juara terbaik sekaligus mengharapkan kelab Kemboja itu kalah besar kepada Shan United esok.

Menyedari hanya kemenangan besar tujuh gol dapat mencerahkan peluang mereka, TFC mula mencemaskan kubu Bali United melalui tandukan Habib Haroon yang terkena palang minit ke-20.

Tiga minit kemudian TFC dihidanhkan peluang terbaik hasil gerakan Norhakim Hassan dari sebelah kanan namun bola tolakan Syahmi Zamri di depan pintu gol melambung tinggi.

Corak lebih garang ditunjukkan naib juara Piala Malaysia itu apabila rembatan Sony Norde (m-37) dan Ivan Mamut pada minit ke-38 ditepis keluar penjaga gol untuk sepakan penjuru.

Habib yang mengambil sepakan itu melakukan hantaran pendek kepada Norde lalu membuat sepakan kencang dari jarak jauh untuk gol pembukaaan skuad Sang Penyu.

Bersambung babak kedua, pintu gol TFC nyaris dikejutkan Bali United mujur gerakan Ilija Spasojevic (m-57) dan Jean Mbarga (m-60) diselamatkan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Hasrat skuad Peteh menambah jaringan tidak kesampaian selepas bola tolakan Mamut dikeluarkan di atas garisan gol minit ke-63 sebelum percubaan Norhakim minit ke-72 terkena tiang.

Sardor Kulmatov akhirnya menggandakan kedudukan minit ke-88 apabila melepaskam rembatan leret menewaskan penjaga gol Bali United dan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat.