DI sebalik jadual latihan yang padat dan komitmen sebagai antara tonggak utama boling padang negara, Aleena Ahmad Nawawi membuktikan bahawa disiplin atlet elit mampu berjalan seiring dengan kecemerlangan akademik.
Jaguh negara itu menamatkan pengajian Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM pada Istiadat Konvokesyen Ke-103 satu detik penuh makna yang diraikan bersama keluarga, pensyarah dan rakan seperjuangan.
Bagi Aleena, kejayaan ini bukan hadir dengan mudah. Beliau mengakui tugasan akademik, latihan pusat dan siri kejohanan antarabangsa sering bertembung, namun tekadnya untuk melengkapkan pengajian menjadi kekuatan utama.
“Komitmen latihan pusat, kejohanan antarabangsa dan tugasan akademik semuanya bergerak serentak. Tetapi saya percaya seorang atlet harus kuat bukan sahaja di padang, tetapi juga dalam pendidikan,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada pensyarah FSR serta rakan-rakan yang sentiasa memahami perjuangannya.

Aleena menamatkan pengajian Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM pada Istiadat Konvokesyen Ke-103 petang Selasa.
Walaupun jadual pengajiannya mencabar, Aleena kekal cemerlang dalam arena sukan. Beliau terus menjadi antara sandaran utama skuad negara dalam pelbagai siri kejohanan antarabangsa, sekali gus mengekalkan reputasi Malaysia sebagai kuasa besar boling padang Asia.
Di kampus pula, kehadirannya menjadi inspirasi kepada pelajar lain, khususnya atlet universiti yang turut mengejar keseimbangan antara akademik dan prestasi.
UiTM turut merakamkan rasa bangga, menyifatkan kejayaan Aleena sebagai gambaran jelas komitmen universiti melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja hebat dalam bilik kuliah, tetapi juga berdaya saing di pentas sukan berprestasi tinggi.
Selepas menerima skrol, Aleena kini mengalihkan fokus sepenuhnya kepada dua misi penting pada 2026, Kejohanan Asian Lawn Bowls Championship di India pada April dan Sukan Komanwel di Glasgow pada Ogos.
“Saya mahu terus membawa nama Malaysia di arena antarabangsa dan pada masa sama memberi sumbangan kepada pembangunan sukan negara. Tamatnya pengajian ini membuka lebih banyak ruang untuk saya berkembang,” katanya penuh tekad.
Dengan rekod konsisten dan semangat yang tidak pernah luntur, Aleena Ahmad Nawawi kini melangkah ke fasa baharu kariernya bersenjata ilmu, pengalaman dan keyakinan untuk terus mengangkat martabat sukan boling padang Malaysia di pentas dunia.