SATU memori bermakna buat industri permotoran negara akan tercipta apabila Motorsports Association of Malaysia (MAM) dijangka akan membawa seramai 400 tenaga pakar ke Grand Prix (GP) Motosikal Kazakhstan yang berlangsung 14 hingga 16 Jun ini.
Kejuaraan yang akan berlangsung di Litar Perlumbaan Antarabangsa Sokol di Almaty, Kazakhstan itu bakal menyambut kehadiran wajah-wajah jurutera atau pihak terlibat dari Malaysia untuk membantu melancarkan lagi perlumbaan di sana.
Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir sendiri mendedahkan bahawa penganjur litar di Kazakhstan telah meminta bantuan MAM untuk memberikan khidmat kepakaran dan pengalaman daripada pakar-pakar perlumbaan di Malaysia.
Walau bagaimanapun, badan induk sukan permotoran Malaysia juga masih sedang meneliti sama ada pihaknya mempunyai tenaga pakar yang mencukupi atau tidak untuk ditawarkan ke Kazakhstan kelak.
“Buat masa ini, kita sedang mengkaji keperluan mereka kerana penganjur di sana meminta kita memberikan tenaga dan kepakaran.
“Seperti dulu, kita belajar daripada orang luar pada tahun 1999 sewaktu kita mahu adakan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kita dapat pertolongan daripada pegawai-pegawai dari Litar Australia.
“Jadi sekarang, Kazakhstan pula memerlukan bantuan kita dari segi marshall, stewards perlumbaan dan ‘clerk of the course’ (COC) yang berpengalaman luas untuk mengendalikan perlumbaan antarabangsa,”katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri MAM pada Khamis.
Dalam masa yang sama, pihak MAM juga akan memastikan supaya setiap ciri-ciri keselematan perlumbaan yang akan diadakan di sana nanti, perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Persekutuan Antrabangsa Sukan Bermotor (FIM).