MAGIS sentuhan bekas pelari kebangsaan, Jironi Riduan memutikkan hasilnya apabila atlet kebangsaan yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM), Anas Ariffin, menggondol emas acara 1,500 meter (m) Diamond lelaki Grand Final Trek dan Padang Varsiti, di Arena Universiti Malaya (UM).

Pelari yang berada dalam Program Podium itu berkata, walaupun hanya dua bulan berguru dengan pemenang pingat emas Sukan Sea Naypiydaw 2013 itu, dia berjaya menyerap segala ilmu sekali gus dapat memecahkan rekod kejohanan.

Mohd Jironi Riduan bersorak selepas mendapat pingat emas dalam acara 800m lelaki di Sukan Sea ke 27 di Nay Pyi Taw, Myanmar . |Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad

“Alhamdulillah, saya rasa sasaran untuk acara ini tercapai, dengan pelarasan dan rentak larian hasil latihan di bawah Jironi, membolehkan saya memperoleh catatan masa yang diinginkan,” katanya, selepas menamatkan larian.

Ujar Anas, catatan 4 minit 05.17 saat (s),  yang dilakukannya bagaimanapun boleh diperbaiki selepas ini, dalam usaha menempatkan diri untuk layak ke Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya.

Catatan yang dilakukan pelari berusia 23 tahun kelahiran Kelantan itu, berjaya memecahkan rekod Amirul Arif Mohd Azri 4:05.47s.

Selepas menang emas 1,500m lelaki, Anas mahu tambah koleksi dalam acara 800m esok. |Pix FB Sukan IPT

Amirul Arif yang mewakili Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekadar berpuas hati dengan perak selepas melakukan catatan 4:06.89s, manakala gangsa menjadi milik Zaiyusri Zainon dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan catatan 4:10.67s.

“Saya berazam untuk memecahkan rekod kejohanan dalam acara 800m esok baik di separuh akhir mahupun akhir dengan catatan peribadi terbaik saya sekarang ini ialah 1:53s, manakala rekod kejohanan pula milik saya sendiri ialah 1:54.95s,” kata pelajar jurusan komunikasi itu.

Ainur Shafiqah Azmi dari UPM raih emas 1,500m wanita. |Pix FB Sukan IPT

Sementara itu bagi saingan wanita pula, emas diraih rakan sepasukan Anas, Ainur Shafiqah Azmi dengan catatan 5:48.03s, manakala perak milik wakil Universiti Sains Malaysia (USM), Pung Cheng Hui (5:49.32s) dan gangsa dibawa pulang Margreat Mary Kjohnson dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) (5:51.54s).