PENYERANG sensasi Manchester City, Erling Haaland, bersama kekasihnya, Isabel Haugseng Johansen, telah diramal menjadi pasangan paling berpengaruh dalam dunia bola sepak, mengambil alih gelaran yang sebelum ini dipegang oleh David dan Victoria Beckham.
Memetik laporan media antarabangsa, Haaland, 23, baru sahaja menandatangani perjanjian mega bersama Manchester City yang dikatakan sebagai salah satu kontrak paling bersejarah dalam dunia bola sepak.
Perjanjian ini bukan sahaja menaikkan profil Haaland tetapi turut menjadikan pasangan ini perhatian ramai.
“Mereka akan menjadi pasangan lebih besar daripada Beckham, perjanjian Haaland ini adalah sesuatu yang tidak pernah didengar sebelum ini dan benar-benar meletakkan mereka di dalam radar dunia, walaupun Isabel sangat menjaga privasinya,” kata salah seorang sumber yang rapat dengan pasangan tersebut.
Isabel, yang turut bergiat aktif sebagai pemain bola sepak, berasal daripada latar belakang sederhana dan dikenali kerana sifatnya yang rendah hati.
Walaupun hubungan mereka penuh rahsia, pasangan ini dikatakan memiliki kepercayaan yang kukuh, yang penting bagi Haaland, lebih-lebih lagi selepas perjanjian ini bakal menarik perhatian besar dari seluruh dunia.
“Apa yang istimewa tentang mereka berdua adalah tidak seperti pasangan bola sepak lain, mereka tidak perlu bersusah payah untuk menonjolkan diri.
“Ia berlaku secara semula jadi dan Isabel adalah seorang yang amat mencintai sukan dan kecantikan semula jadinya akan membuatkan jenama besar dalam dunia sukan dan kecantikan berebut-rebut untuk mendapatkannya.
“Mereka bertemu pada usia muda dan itu yang menjadikan hubungan mereka sangat istimewa, serta Haaland boleh percaya sepenuhnya kepada Isabel, sesuatu yang sukar diperoleh dalam dunia seperti ini,” tambah sumber itu.

Isabel Haugseng Johansen (kiri) bersama Erling Haaland (kanan) | FOTO: US Network
Sebagai salah seorang pemain bola sepak dengan gaji tertinggi dalam sejarah, Haaland kini dianggap sebagai ikon sukan global.
Dengan keperibadian yang sederhana tetapi menarik perhatian, pasangan ini berpotensi menjadi simbol baru dalam dunia bola sepak, lebih besar daripada pasangan ikonik seperti Beckham atau Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodriguez.