PEMAIN tengah prolifik yang baru menyertai Kedah Darul Aman FC, Habib Haroon nyata tidak sabar untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri buat kali pertama di Malaysia tahun ini.

Ini selepas dia memilih untuk tidak pulang ke kampung halamannya kerana mahu lebih fokus kepada aksi pramusim Kedah Darul Aman yang dijadualkan berlangsung di Terengganu selepas cuti Hari Raya ditambah keluarganya akan turut datang ke Malaysia.

“Saya diberitahu bahawa sambutan Aidilfitri di Kedah juga seperti di Terengganu. Sebelum ini apabila Hari Raya, saya akan pulang ke negara saya tetapi kali ini saya akan sambutnya di sini kerana kempen pramusim akan bermula tidak lama lagi.

Habib teruja untuk menyambut Aidilfitri di Kedah. 

“Isteri dan dua anak saya juga akan datang ke Kedah tidak lama lagi. Mereka mahu merasai suasana di Kedah dan ini menambah lagi kegembiraan buat saya menjelang Syawal.

“Setakat ini saya masih belum mempunyai apa-apa perancangan pada pagi raya tetapi jika ada yang menjemput ke rumah mereka, saya pasti datang untuk meraikan kemeriahan ini bersama-sama selain menikmati makanan yang lazat,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Habib turut berkongsi rasa syukur dapat sekali lagi menyambut Ramadan di Malaysia kerana padanya Malaysia adalah antara tempat terbaik untuk umat Islam melaksanakan rukun Islam ketiga ini.

Habib bakal memperkuatkan skuad Sang Kenari. 

“Saya sangat gembira menyambut Ramadan di sini kerana majoriti masyarakat berpuasa dan mudah untuk beramal kerana Malaysia mempunyai banyak masjid dan setiap pagi saya bersyukur kerana masih hidup, sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan duit,” jelasnya.

Kehadiran Habib di Alor Setar bakal menyaksikan dia kembali bersama pengendali, Nafuzi Zain selepas semusim bergandingan di Terengganu pada musim 2022.