PENYERANG skuad Bawah 23 tahun kebangsaan, Haqimi Azim Rosli menerima hakikat dia terpaksa menyambut lebaran di perantauan demi membawa nama Malaysia di Kejohanan Piala Asia AFC B-23 yang berlangsung dari 15 April hingga 3 Mei 2024.
Menurut Hakimi, ini adalah sebahagian daripada pengorbanan yang perlu dihadapi sebagai pemain atlet negara.
Bagi menghilangkan kerinduan terhadap sambutan Aidilfitri, Haqimi telah membawa sepasang baju melayu untuk dipakai di pagi raya bersama teman yang lain dan meraikan Syawal di hotel penginapan mereka.
“Saya ada bawa sepasang baju melayu dan saya akan pakai pada raya pertama dengan kawan-kawan. Tidak kisah beraya di mana sebab ini adalah pengorbanan yang saya perlu hadapi sebagai pemain bola sepak profesional.
“Kita tidak boleh terlalu memikirkan tidak dapat makan juadah kegemaran dan beraya bersama keluarga kerana ini adalah kerjaya dan harap pengorbanan ini dapat diterjemahkan dengan keputusan yang baik untuk Malaysia,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Pengendali skuad B-23, Juan Torres Garrido juga mengesahkan akan ada satu majlis khas untuk meraikan kehadiran 1 Syawal namun apa butirannya disimpan sebagai kejutan buat para pemain dan pegawai beragama Islam.
“Ya kami akan aturkan satu majlis Hari Raya untuk semua pemain dan pegawai tetapi kami akan biarkan perkara ini sebagai rahsia dan mahu mereka tetap gembira meraikan Hari Raya meskipun tidak bersama keluarga masing-masing,” jelasnya.
Skuad Harimau Malaya B-23 akan membuka tirai saingan Kumpulan D menentang Uzbekistan pada 17 April sebelum bertemu Vietnam pada 20 April dan mengakhiri peringkat kumpulan pada 23 April dengan dua pasukan teratas layak ke suku akhir.