KEJOHANAN Perodua Malaysia Masters 2025 kembali mewarnai kalender badminton tanah air dengan penganjuran edisi ketujuh yang dijangka lebih rancak dan berprestij dari tahun-tahun sebelumnya.
Bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula 20 hingga 25 Mei ini, kejohanan berstatus Super 500 itu bakal menghimpunkan barisan pemain terbaik dunia termasuk jaguh-jaguh tempatan yang pastinya mahu tampil cemerlang di laman sendiri.
Dengan peningkatan jumlah hadiah wang kemenangan kepada AS$475,000 (sekitar RM2.26 juta), kejohanan ini terus membuktikan reputasinya sebagai salah satu acara tumpuan dalam Jelajah Dunia BWF, sekali gus menarik perhatian lebih ramai bintang antarabangsa ke Kuala Lumpur.
Antara nama besar yang dijangka beraksi termasuk pemenang pingat emas Kejohanan Badminton Asia di China baru-baru ini, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, selain gandingan Pearly Tan–Thinaah Muralitharan serta Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani.
Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam melahirkan rasa bangga dengan penganjuran berterusan kejohanan ini bersama PERODUA sebagai penaja utama sejak tujuh tahun lalu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad atas komitmen berterusan dalam pembangunan sukan badminton negara.
“Kami amat menghargai sokongan PERODUA yang telah membantu menjadikan Malaysia Masters sebagai kejohanan bertaraf dunia.
“Kerjasama ini bukan sahaja membanggakan tetapi turut mengangkat martabat badminton negara ke tahap lebih tinggi,” kata Datuk V. Subramaniam dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad menyifatkan penglibatan PERODUA sebagai penaja utama adalah satu penghormatan besar dalam memartabatkan sukan kegemaran rakyat Malaysia ini.
“Kami bangga menjadi sebahagian daripada kejohanan berprestij ini yang kini menjadi acara wajib dalam kalendar sukan negara,” ujarnya.
Tiket akan mula dijual pada 18 April jam 11 pagi menerusi www.ticket2u.com.my dan para peminat digalakkan mendapatkannya awal sebelum kehabisan. Jangan lepaskan peluang menyaksikan sendiri kehangatan aksi bertaraf dunia secara langsung di Axiata Arena tahun ini!