PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung teguran terbuka Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terhadap isu pemisahan pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Menurut Naib Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, pihaknya mengambil maklum nasihat yang diberikan oleh menteri namun menegaskan bahawa segala keputusan seterusnya kini terletak sepenuhnya di tangan pemain.

Naib Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam.
“Tak ada apa-apa komen sekarang, tu menteri punya nasihat. Sekarang terpulang kepada pemain,” katanya ketika ditanya Flash Sukan pada sidang media pengumuman kejohanan Malaysia Masters, hari ini.
Sebelum ini, Hannah mengingatkan bahawa pasangan tersebut hanya akan kekal dalam Program Road to Gold (RTG) sekiranya terus bergandingan, dan menegaskan dana besar kerajaan tidak boleh dibazirkan dengan pertukaran pasangan secara tiba-tiba.

Gandingan ranking keempat dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berdepan kemelut persefahaman dan dijadual berpisah sementara.
Bagaimanapun, BAM sudah memisahkan gandingan itu dengan Tang Jie kini bersama Chan Wen Tse manakala Ee Wei digandingkan dengan Loo Bing Kun – satu keputusan yang mengundang persoalan mengenai hala tuju dan komitmen jangka panjang program RTG menjelang Olimpik Los Angeles 2028.