MENJELANG saingan Perodua Malaysia Masters 2025 yang bakal membuka tirai tidak lama lagi, Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam memberi jaminan bahawa venue pertandingan sudah berada dalam keadaan terbaik selepas isu kebocoran bumbung yang berlaku ketika Terbuka Malaysia awal tahun lalu.
Menurut Datuk Subramaniam, pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan diberi jaminan bahawa segala masalah teknikal terdahulu telah diselesaikan sepenuhnya oleh pihak kontraktor yang bertanggungjawab.
“Mereka pun sudah repair dan memang tak ada apa-apa masalah. Ini bukan perkara yang disengajakan, kita tak sangka pun.
“Tapi sekarang saya rasa semua okay, tak ada masalah. Kita pun harap tiada masalah. Kadang-kadang cuaca ni bukan dalam kawalan kita, ini semua kerja alam,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Malaysia Masters 2025.

Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam memberi jaminan bahawa venue pertandingan sudah berada dalam keadaan terbaik.
Tambah beliau lagi, kerja-kerja pembaikan dilakukan melibatkan bahagian tertentu yang sebelum ini menjadi punca kebocoran dan kini ia telah dibaiki sepenuhnya.
BAM juga sentiasa dimaklumkan oleh PSM dari semasa ke semasa mengenai perkembangan baik pulih tersebut.
“Ya, memang kami sentiasa berhubung dan mereka pun dah beri taklimat kepada kami. Mereka dah lakukan apa yang perlu, dan sekarang semuanya sudah diatasi. Kami berdoa supaya semuanya berjalan lancar,” jelas beliau.
Isu bumbung bocor sebelum ini mencetuskan kegusaran dalam kalangan peminat dan pemain, namun dengan keyakinan yang diberikan BAM serta kerjasama rapat bersama PSM, fokus kini beralih sepenuhnya kepada aksi-aksi berkualiti yang dijanjikan sepanjang kejohanan berlangsung nanti.
Saingan Perodua Malaysia Masters 2025 bakal berlangsung dari 20 Mei hingga 25 Mei di Axiata Arena, Bukit Jalil. Edisi kali ini turut menyaksikan peningkatan jumlah hadiah kemenangan daripada USD420,000 kepada USD475,000 — satu penambahan signifikan yang dijangka menarik minat lebih ramai bintang dunia. Tiket pula akan mula dijual pada 18 April ini jam 11 pagi.