DEBARAN hari pertama Terbuka Malaysia 2024 diredakan dengan kemenangan pasangan campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Selepas menyaksikan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Soon Huat-Shevon membawa kegembiraan kepada penyokong yang hadir ke Axiata Arena, apabila menghadirkan kemenangan ketika menentang pasangan England, Gregory dan Jenny Mairs.

Mempamerkan permainan kemas, gandingan campuran nombor dua negara itu menutup cabaran pemain England dengan kemenangan 21-16, 15-21, 21-17.

Gandingan campuran nombor dua negara saling memberi sokongan untuk menghasilkan corak permainan yang terbaik. 

Soon Huat bagaimanapun mengakui berdepan detik sukar pada set kedua hingga mereka tewas sebelum bangkit pada set penentuan.

“Pada set kedua, kita banyak buat kesilapan, ada sedikit rasa geram dan kecewa dengan diri sendiri. Selepas itu, Coach suruh kita tukar taktikal supaya jadi lebih berani serta banyakkan menyerang pihak lawan.

“Kami juga terlalu berhati-hati kerana angin di gelanggang terlalu kuat dan sukar mengagak pergerakan bola,” kata Soon Huat, selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Shevon Lai mengakui kesukaran perlawanan itu memaksa mereka mempercayai satu sama lain.

Shevon Lai akui kebangkitan pada set ketiga berpunca daripada semangat yang diberi oleh gandingannya.

“Saya rasa kita dapat bangkit dengan mengawal permainan lebih bagus terutamanya pada set ketiga (set penentuan) kerana pihak lawan juga nampak semakin yakin bermain dengan kita.

“Jadi kita pun tidak mengalah dan semakin mahu bekerja keras, lebih berani dan dominasi semula perlawanan,” ujar Shevon.

Pada pusingan kedua esok, Soon Huat-Shevon bakal bertemu sama ada dengan wakil Netherlands, Robin Tabeling-Selena Piek atau gandingan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.