PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) digesa melaksanakan reformasi besar-besaran segera demi keadilan semua pihak.

Pemain beregu lelaki nombor 2 dunia, Aaron Chia berkata, pelbagai kontroversi berlaku dalam mengadili perlawanan di peringkat tertinggi antarabangsa, boleh menjatuhkan moral pemain yang berlawanan dengan adil.

Menurut Aaron, jika perlu BWF boleh dapatkan teknologi sistem rakaman video (VAR), sebagaimana digunakan bola sepak, terutamanya selepas berlaku insiden kontroversi menerusi keputusan pengadil perlawanan yang seolah-olah memihak atau bias kepada pemain tertentu.

Aaron berkata, insiden membabitkan keputusan servis dan sama ada bulu tangkis menyentuh pemain atau tidak, kerap kali mencetuskan kekeliruan dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain.

Pasangan muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing menjadi mangsa keputusan kontroversi pengadil di kejohanan Malaysia Masters, Mei lalu.

“Saya rasa BWF patut pertimbangkan penggunaan VAR seperti bola sepak. Banyak insiden yang kami sendiri tak pasti,contohnya bila shuttle terkena pemain atau tidak, sukar untuk dinilai secara jelas tanpa bantuan video,” katanya, ditemui selepas latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Beliau juga menegaskan bahawa sistem semasa yang terlalu bergantung kepada penglihatan pengadil servis perlu dikaji semula kerana sudut pandangan setiap pengadil tidak seragam, bergantung kepada ketinggian dan posisi mereka.

“Walaupun garis panduan mengatakan 1.15 meter, sudut pandang berbeza-beza. Jadi keputusan boleh jadi tak konsisten antara satu pengadil servis dengan yang lain,” jelasnya.

Aaron turut menyeru agar aspek bantuan perubatan turut diberi perhatian oleh BWF, khususnya apabila pemain memerlukan rawatan segera di atas gelanggang dan bukannya dituduh cuba melengahkan masa permainan.