MENTERI Belia dan Sukan Negara, Hannah Yeoh menyatakan bahawa pihak Majlis Sukan Negara (MSN) sedang meneliti pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk semua atlet negara bermula Januari tahun depan.

Perkara yang telah diputuskan oleh Lembaga Pengurusan MSN itu telah mendapat sokongan padu oleh atlet olahraga kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi yang melihat pendekatan tersebut sebagai satu perkara positif buat para atlet di negara.

Bagi atlet yang berusia 24 tahun itu, kadar elaun yang telah dinaikkan oleh pihak MSN serta kaedah pemotongan KWSP adalah satu inisiatif penting bagi membantu meringankan masa depan seseorang atlet yang sudah bersara atau sebagainya.

“Saya gembira apabila mendapat tahu pihak MSN melakukan dasar tersebut bagi menjaga kesejahteraan atlet dan saya yakin prestasi atlet akan menjadi semakin baik terutama apabila terdapat pelapis baharu yang mula menonjolkan bakat mereka.

“Sukan olahraga sekarang juga semakin menyerlah seperti kita tahu Azeem Fahmi, Umar Osman dan Shereen Samson telah berjaya memecahkan rekod kebangsaan di pelbagai kejohanan serta perkara ini dibantu oleh coach Poad dan coach Nizam yang menaikkan lagi prestasi atlet dalam bidang olahraga ini.

“Mereka belum capai setahun dalam mengendalikan skuad olahraga Malaysia tetapi saya sudah nampak petanda positif melalui pencapaian atlet negara di bawah bimbingan pihak MSN hari ini,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu, Haiqal yang mempunyai misi utama dalam mengembalikan momentum larian di Kejohanan Olahraga Asia ‘Indoor’ yang akan berlangsung di Iran pada Februari 2024 sekali gus mengulang rekod cemerlang seperti di Sukan Sea Manilla tahun 2019.