RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mengungkapkan keterujaan dan rasa gembira terhadap pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengenai insentif caruman Kumpulan Simpanan Wang Bekerja (KWSP) dan Perkeso kepada atlet-atlet negara.

Menurut pengumuman tersebut,  pemotongan KWSP dan Perkeso tersebut akan dibuat mulai tahun hadapan dan perkara itu telah melegakan hati Pandelela yang sebelum ini pernah menaruh harapan supaya setiap atlet diberikan kelebihan seperti itu.

Atlet yang berusia 30 tahun itu telah membuat beberapa kiriman di sosial media Instagram serta X (Twitter) miliknya dan turut menyatakan bahawa ‘ganjaran’ yang diberikan oleh pihak MSN itu telah menunjukkan rasa keprihatinan untuk menjaga kebajikan atlet negara.

“Saya sangat berbangga dan bersyukur kerana YB Hannah Yeoh dapat merealisasikan impian setiap atlet di negara ini kerana sejujurnya kami dah lama pendam dari orang luar bahawa elaun atlet tidak tetap selama ini.

“Tambahan, elaun yang diterima juga 100% dicukaikan dan akhirnya selepas bertahun-tahun minta, YB Hannah Yeoh dapat melakukannya untuk atlet di bawah MSN. Terima kasih banyak-banyak kerana menjaga kebajikan kami.

“Saya pasti bahawa inisiatif yang diterima ini bukan sahaja memberi kelebihan buat para atlet sekarang tetapi juga buat bakal pelapis muda yang bercita-cita untuk menjadikan sukan sebagai perjalanan kariernya.

“Kini dengan bangganya saya boleh mengajak ibu bapa di luar sana untuk menghantar anak mereka di sekolah sukan kerana pasti anak-anak mereka akan mendapat kemudahan yang selesa di masa hadapan,” ujarnya dalam laman media sosial.