PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah mengetuai delegasi negara ke Kongres Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) Ke-74, pada Jumaat dan Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Ke-34 pada Khamis.
Kongres yang berlangsung di Bangkok, Thailand itu menyaksikan Hamidin yang merupakan salah seorang Ahli Majlis Fifa, bersama-sama delegasi daripada Ahli-ahli Gabungan Fifa yang lain telah menyokong usul berhubung pendirian global menentang perkauman dalam bola sepak.
“Lima teras utama telah digariskan oleh Fifa dalam menentang perkauman ini merangkumi Peraturan dan Hukuman, Tindakan Di Atas Padang, Pertuduhan Jenayah, Pendidikan dan Suara Pemain. Kita semua perlu bersatu untuk menyokong pendirian global ini.

Hamidin mengetuai delegasi Malaysia ke Kongres Fifa ke-74.
“Kongres Fifa yang disertai 211 ahli gabungan ini juga telah memilih Brazil sebagai tuan rumah Piala Dunia Wanita 2027,” ujar Hamidin.
Dalam masa yang sama, Fifa turut mengesahkan kemas kini beberapa pertandingan antaranya edisi sulung Piala Dunia Futsal Wanita 2025 yang akan berlangsung di Filipina, Piala Dunia B-17 Lelaki berlangsung setiap tahun di Qatar dari 2025 hingga 2029 dengan Asia mendapat sembilan slot serta Piala Dunia B-17 Wanita berlangsung setiap tahun di Maghribi dari 2025 hingga 2029 dengan Asia mendapat empat slot.
Selain itu, Piala Dunia Bola Sepak Pantai 2025 pula akan berlangsung di Seychelles. Hal ini turut menyaksikan Majlis Fifa telah meluluskan beberapa peraturan baharu berkaitan pertandingan.

Kongres FIFA ke-74 diadakan di Bangkok, Thailand.
Dalam pada itu, Hamidin yang juga salah seorang Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC telah menghadiri Kongres AFC pada Khamis yang mana isu Palestin antara perkara utama dibincangkan.
“Fifa dan AFC akan memberi bantuan yang diperlukan oleh Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA). Semua perwakilan AFC menzahirkan rasa sedih tidak terhingga atas kejadian yang berlaku di bumi Palestin yang telah banyak mengorbankan rakyat mereka termasuk juga pemain dan pegawai bola sepak serta petugas media.
“Selain itu, Kongres AFC turut bersetuju menerima usul daripada beberapa ahli gabungan untuk memansuhkan peraturan mengehadkan presiden dan ahli jawatankuasa eksekutif kepada maksimum tiga penggal memegang jawatan. Maksudnya sekarang, tiada had ditetapkan,” jelasnya.