PERSATUAN Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) akan merangka pelan dan program latihan tersusun bagi memastikan penyertaan negara dalam acara berpasukan campuran di Sukan Olimpik Los Angeles 2028, sebaik sahaja sistem kelayakan rasmi diumumkan oleh Persekutuan Memanah Dunia (WA).
Presidennya, Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, pihaknya masih menunggu garis panduan terperinci daripada WA berhubung kaedah pemilihan atlet ke temasya berprestij itu.
“Kita akan berhubung semula dengan pihak WA dan minta penerangan yang lebih jelas kerana buat masa ini sistem kelayakan masih belum dimuktamadkan. NAAM bersedia untuk merancang program berdasarkan format yang akan diumumkan nanti,” katanya ketika dihubungi Flash Sukan.

Presiden NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan harap WA segera mengumumkan proses kelayakan Olimpik bagi acara berpasukan campuran memanah compound. -FOTO Ihsan BERNAMA
Menurut Abdul Hamid, Malaysia berpeluang cerah untuk bersaing dalam acara berpasukan campuran memandangkan acara tersebut telah pun mendapat kelulusan untuk dipertandingkan di LA 2028 – sesuatu yang telah lama diperjuangkan oleh NAAM.
“Alhamdulillah, akhirnya acara ini diluluskan untuk Sukan Olimpik akan datang. Ini membuka peluang besar kepada atlet negara, terutama memandangkan kita pernah berada dalam kelompok 10 terbaik dunia dalam kategori ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai calon atlet, beliau menyebut nama-nama seperti Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dan Mohd Juwaidi Mazuki untuk kategori lelaki, manakala Fatin Nurfatehah Mat Salleh kekal antara pilihan utama bagi kategori wanita.
“Alang kini berada di prestasi terbaik, manakala pengalaman Juwaidi penting untuk pasukan. Tapi pemilihan belum dimuktamadkan kerana ia bergantung kepada kriteria yang akan ditetapkan nanti,” jelasnya.
Dalam pada itu, NAAM juga merancang untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemilihan khas bagi memantau prestasi atlet serta menyelaras perancangan ke arah kelayakan Olimpik.
“Kita akan adakan mesyuarat bersama jawatankuasa ini dalam masa terdekat, seiring dengan perkembangan dari WA. Objektif utama adalah untuk memastikan kita menyediakan pelan terbaik bagi membantu atlet negara melayakkan diri ke LA 2028,” katanya.