Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli bersedia memanfaatkan kelebihan pengalaman di Litar Jerez bagi menghadapi pusingan Grand Prix Sepanyol hujung minggu ini.

Aksi yang berlangsung dari 24 hingga 27 April itu menjadi medan penting buat pelumba Moto3 negara tersebut untuk kembali mencatat keputusan positif selepas berehat selama tiga minggu sejak perlumbaan di Amerika Syarikat.

Hakim Danish mengakui tidak sabar untuk kembali ke litar, apatah lagi Jerez merupakan antara trek yang cukup dekat dengan dirinya berdasarkan rekod lampau.

“Selepas tiga minggu berehat, minggu ini adalah minggu perlumbaan di Jerez. Saya berasa cukup bersemangat dan bermotivasi untuk kembali beraksi,” katanya.

Sepanjang tempoh rehat itu, pelumba berusia 18 tahun berkenaan kekal berada di Sepanyol bagi menjalani latihan intensif termasuk sesi tunggangan, berbasikal dan latihan kecergasan bersama pelumba lain.

Litar Jerez bukan asing buatnya apabila pernah mencipta keputusan memberangsangkan dengan meraih dua podium tempat kedua dalam saingan Piala Rookies Red Bull MotoGP sebelum ini.

Kelebihan itu dijangka membantu Hakim Danish menyesuaikan diri dengan karakter litar yang menuntut kemahiran tinggi, khususnya di selekoh berkelajuan tinggi serta zon brek keras.

Namun, beliau tetap mengakui cabaran sebenar di litar sepanjang 4.4 kilometer itu memerlukan tahap fokus maksimum sepanjang perlumbaan.

“Walaupun terdapat banyak selekoh teknikal dan zon ‘hard braking’, saya berharap dapat memberikan aksi terbaik,” tambahnya.

Setakat ini, Hakim Danish berada di kedudukan ke-14 keseluruhan Moto3 dengan kutipan sembilan mata, dan perlumbaan di Jerez dilihat sebagai peluang terbaik untuk memperbaiki kedudukannya.

Beliau turut mengharapkan sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia dalam usaha memburu keputusan lebih baik pada pusingan kali ini.

Sumber Gambar: FB ZK Racing