Ketua jurulatih Harimau Malaya B-16, Shukor Adan dijangka melakukan penyesuaian taktikal menjelang aksi final Kejuaraan B-17 ASEAN menentang Vietnam esok.

Walaupun dibarisi pemain lebih muda berbanding lawan, skuad muda negara berjaya mencuri perhatian dengan aksi konsisten untuk melangkah ke final edisi 2026.

Mengulas persiapan pasukan, Shukor menegaskan fokus utama kini adalah memastikan tahap kecergasan pemain berada pada tahap terbaik selepas jadual padat.

“Saya rasa persediaan pasukan bagi perlawanan esok adalah pemulihan dari segi mental dan fizikal pemain Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengakui Vietnam hadir sebagai lawan yang cukup berbahaya berdasarkan prestasi semasa mereka dalam kejohanan.

“Kita tahu Vietnam adalah pasukan yang agak kuat, dengan menjaringkan 16 gol dan bolos hanya satu jaringan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Shukor memberi bayangan bahawa pendekatan taktikal berbeza akan digunakan berbanding pertemuan di peringkat kumpulan sebelum ini.

“Dari segi pendekatan taktikal, kita akan pergi tetapi dengan berlainan pendekatan pada perlawanan akhir nanti,” katanya lagi.

Perlawanan akhir antara Malaysia dan Vietnam dijadual berlangsung di Stadium Gelora Delta Sidoarjo pada 24 April, dengan sepak mula jam 8.30 malam waktu Malaysia.

Skuad muda negara kini hanya selangkah untuk menjulang kejuaraan dan mencipta satu lagi detik manis dalam bola sepak pembangunan negara.