JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi memilih karya jurugambar Flash Sukan sebagai foto yang melambangkan dirinya, berada di tahap membanggakan, pada pentas Sukan Asia ke-19 lalu.

Membuka ruang di akaun Instagram miliknya untuk menjawab apa sahaja pertanyaan daripada peminat, Azeem yang kini berada di Amerika Syarikat (AS) berkongsi setiap jawapan di Insta Storynya.

Gambarnya menaiki podium sambil mengangkat dua tangan yang dipotretkan jurugambar, Izari Haji Rosli, dipilih sebagai cukup bermakna dan membanggakan, ketika menjawab soalan peminat yang bertanyakan “Show us pic that day youre prod of urself.”

Perkongsian Azeem mengenai gambar yang menzahirkan dirinya berasa bangga.

Sebelum ini, pada hantaran Instagramnya, Azeem memetik kenangan di Hangzhou, sebagai pencapaian yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Saya sangat bersyukur untuk pingat gangsa ini. Perjalanan yang sangat mencabar tetapi kita yakin dengan perancangan Allah. Selepas 41 tahun, saya akhirnya membawa pulang Malaysia dalam senarai di Asia. Ini hanyalah permulaan, banyak lagi yang akan datang dan menanti untuk layak ke Olimpik 2024. Bismillah,” hantaran Azeem yang diterjemahkan.

Pencapaian Sukan Asia Hangzhou dianggap permulaan kepada perjalanan lebih gemilang Azeem.

Sementara itu, anak jati Perak itu juga menegaskan bahawa tiada istilah berputus asa dalam kamus kehidupannya, ketika menjawab soalan pengikutnya yang bertanya sama ada dia pernah berasa berputus asa?

Pemilik rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) itu turut menjawab pertanyaan seorang lagi pengikutnya yang mengenai kunci menjadi konsisten dan jawapan yang diberikan Azeem: “Kesabaran adalah kunci paling utama. Percaya dengan proses dan sentiasa percaya dengan diri sendiri. Perkara yang baik memerlukan masa,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sasaran utamanya pada tahun 2024, Azeem, berkata fokus utama adalah Sukan Olimpik Paris 2024.

Di Hangzhou, Azeem memenangi pingat gangsa dalam acara 100m dengan catatan 10.11s.

Dia berada di belakang pelari China, Xie Zhenye yang memenangi emas dengan catatan 9.97s manakala atlet Thailand, Boonson Puripol perak (10.02s).