HANIS Nadiah Onn menerima hukuman penggantungan daripada mewakili negara ke pentas antarabangsa termasuk Sukan Sea Kemboja, dengan hati terbuka.

Mengakui mahu terus memandang ke hadapan, terutamanya memberi komitmen sepenuhnya kepada saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) yang sudahpun bermula, Hanis Nadiah enggan mencampur adukkan urusan peribadi dan kerjaya hokinya.

“Saya menerima dengan hati terbuka dan saya amat berharap tidak mengulanginya, begitu juga dengan semua atlet saya harap mereka berhati-hati dengan komen yang dibuat,” kata Hanis, ditemui selepas tamat perlawanan Sumbangsih LHWM menyaksikan pasukannya, Negeri Sembilan menjulang trofi pertama musim ini selepas mengatasi KPT-Uniten Thunder 2-1 menerusi penentuan penalti shoot-out.

Pemain hoki wanita berusia 27 tahun itu didapati bersalah oleh Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang dipengerusikan bersama Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada 7 Februari lalu.

Kenyataan media KBS berhubung penggantungan tugasan Hanis Nadiah Onn dari skuad hoki kebangsaan.

Dia didapati bersalah membuat komen berbaur perkauman pada sebuah konsert 28 Januari lalu, sehingga menimbukan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak.

“Perkara yang berlaku ini langsung saya tidak menjangkakannya, dan saya menerima apa juga orang kata terhadap saya. Saya sedar, sebagai atlet, saya juga ada batasnya.

“Saya perlu fokus kepada saingan liga dan satu trofi sudah kami miliki, jadi komitmen saya amat dituntut kelab untuk memburu dua lagi trofi.

ARTIKEL BERKAITAN : KBS minta MSN siasat komen bersifat rasis pemain hoki wanita negara 

Hanis Nadiah membantu Negeri Sembilan trofi Piala Sumbangsih dan komited untuk memburu dua lagi gelaran.

“Mengenai soal mewakili pasukan kebangsaan, saya tidak mahu memikirkannya sangat, yang penting saya terus pamerkan prestasi terbaik dan jika jurulatih anggap saya masih releven di masa akan datang, dan mahu menyenaraikan saya, saya akan sedia mewakili pasukan kebangsaan,” katanya.

Hanis mula mewakili pasukan kebangsaan pada 2014 berjaya menjaringkan 36 gol daripada 84 kaps dimilikinya.

Dia berada dalam skuad yang membawa pulang pingat emas Sukan Sea 2015 dan 2017, membantu pasukan muncul juara Liga Hoki Dunia (Pusingan Pertama) 2015, naib juara Liga Hoki Dunia (Pusingan Kedua) 2017) dan juara FIH Siri Terbuka 2018.