KELAB Kuala Lumpur City FC akan meningkatkan aspek keselamatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan menjadikan Tragedi Kanjuruhan sebagai pengajaran dan berharap ianya tidak akan berlaku sama sekali di negara ini.
KL City yang sedang dalam persiapan menghadapi perlawanan akhir antara zon Piala AFC akan menjadi tuan rumah aksi final pada 22 Oktober 2022 sekiranya berjaya melepasi cabaran Sogdania Jigaaz.
Presiden KL City, Khalid Abdul Samad mengharapkan aksi terbaik dapat ditunjukkan oleh barisan pemain KL City dan semoga mereka dapat mengadaptasi dengan keadaan cuaca sejuk di sana.
Next up in AFC Cup 2022 – BIGGEST GAME YET! #KLCityFC #KLPride #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/fgWTdeYzcY
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) October 3, 2022
Bercakap kepada media dalam sidang media pada Isnin, Khalid juga mahukan sokongan yang lebih jitu daripada penyokong dan pihak-pihak swasta yang mahu bekerjasama dengan kelab.
“Pasukan sudah sampai di Uzbekistan dan sedang berada dalam keadaan yang baik untuk pertemuan Rabu ini. Saya dan barisan Exco serta CEO KL City juga akan berada di sana untuk perlawanan yang sangat penting buat kami.
“Jika menang KL City akan menjadi juara keseluruhan Asia Timur dan akan layak ke final bertemu juara Asia Barat untuk final Piala AFC pada 22 Oktober di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. Jika bergelar juara ianya adalah kejayaan yang tidak ada tandingan meskipun sudah sampai ke tahap ini dianggap cukup baik.
“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa Tragedi Kanjuruhan dan kesal dengan kejadian yang berlaku dan menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk mengawal emosi dan tidak melangkaui batas.
“Pihak KL City juga berharap agar para penyokong tetap hadir ke stadium kerana kami akan mempertingkatkan langkah keselamatan di stadium terutama jika kita berjaya layak ke final dan menjadi tuan rumah.
“KL City mengharapkan sokongan penuh daripada rakyat Malaysia dan warga kota khasnya kepada usaha KL City yang dalam laluan terbaik mencipta sejarah buat negara. Kami mensasarkan untuk muncul juara selepas JDT lakukannua pada 2015 kerana kami yakin kami mampu dan layak untuk jadi juara dan perlukan berkat sokongan dari penyokong.

Pemain KL City menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sejuk.
“Di sana keadaan cuaca sedikit bermasalah dengan waktu malam ianya boleh mencecah hingga 8 darjah selsius manakala petang sekitar 15 hingga 16 darjah selsius. Ianya membuat pemain kurang selesa tetapi atas sebab itu kita bertolak awal untuk persiapan,” katanya dalam sidang media itu.
Ditanya adakah ada imbuhan kepada para pemain sekiranya berjaya layak ke final, Khalid menjelaskan setiap permainan yang diharungi mempunyai bonus atas usaha setiap pemain.
“Sumbangan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dikembalikan kepada pemain sebagai bonus atas usaha mereka meskipun tidak selumayan pasukan lain tetapi ianya mendapat persetujuan daripada semua pemain,” katanya.