SANDARAN beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali ke landasan sebenar apabila mara ke separuh akhir Masters China.

Selepas tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Hong Kong minggu lalu, prestasi dipamerkan Aaron-Wooi Yik di Shenzhen jauh lebih baik namun perlu mempertingkat ptestasi kerana jaguh India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menanti di pusingan empat terbaik esok.

“Mereka lawan lama kami dan sudah tentu perlawanan sukar, jadi kami hanya perlu tampilkan yang terbaik,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjelang aksi separuh akhir.

Pada saingan suku akhir sebentar tadi, pasangan nombor dua dunia itu diberi cabaran getir sebelum berjaya menjinakkan wakil Indonesia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana 21-19, 21-18 dalam tempoh 39 minit.

“Kami rasakan prestasi bertambah baik, belum benar-benar puas hati tapi lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini,” ujar Aaron.

Ironinya, tiada wakil China di separuh akhir beregu lelaki esok apabila satu lagi perlawanan akan melibatkan gandingan nombor satu dunia Korea, Kim Won Ho-Seo Seung Jae menentang Fajar Alfian-Sohibul Fikri dari Indonesia.