PERUBAHAN nama dari Selangor MAC ke Selangor FC dijangka tidak akan menjejaskan sokongan peminat terhadap skuad futsal Red Giants sebaliknya ia langkah yang lebih baik dengan penyelerasan nama pasukan.

Untuk musim 2024 Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL), juara musim 2022 itu akan dikenali sebagai Yoodoo Selangor FC selepas menerima tajaan daripada Yoodoo dengan sasaran kembali muncul juara pada edisi kali ini.

Perkara ini diakui sendiri Pengurus Besar pasukan, Mimi Afzan Afza Abdul Karim yang mahu melihat kerjasama terbaharu ini dapat mengembalikan semula piala berprestij itu ke negeri Selangor.

Pengurus Pasukan Futsal Selangor FC, Mimi Afzan Afza Abdul Karim

“Bagi saya ianya tidak akan mendatangkan masalah kerana meskipun kita melakukan perubahan nama tetapi kami sudah menjadi pasukan Selangor sejak 2019 dan berbangga membawa logonya.

“Penyokong kami adalah penyokong Selangor yang sebenar dan saya harap semua penyokong akan terus menyokong kami dan dengan kerjasama terbaharu ini, kami yakin dapat pergi lebih jauh.

“Sudah tentu kami mahu piala ini kembali ke Selangor dan pasukan sudah pun bersedia untuk mengulangi pencapaian 2019 dan 2022 tetapi dalam futsal apa sahaja boleh berlaku,” katanya ketika ditemui semasa majlis memperkenalkan penaja utama skuad futsal Selangor FC di Shah Alam.

Untuk menghadapi musim baharu ini, Mimi melihat pasukannya sudah berada pada tahap terbaik selepas menjalani kempen pra musim di Vietnam dan dia menyambut baik beberapa perubahan peraturan yang dilihat boleh membantu perkembangan sukan ini di Malaysia.

“Kami sudah bersedia awal sejak Oktober lalu dengan Edgar dikekalkan sebagai jurulatih dan dia mengharapkan yang terbaik dari setiap pemain dengan pasukan sedia untuk memberikan komitmen kepada liga musim ini.

“Kuota import yang diubah kepada dua slot terbuka sudah tentu akan menambah nilai kompetitif liga dimana ramai pemain berkualiti terutama dari Brazil akan datang dan membantu meningkatkan kualiti serta membantu pemain tempatan untuk menjadi lebih baik,” jelasnya.

Dalam majlis pengenalan penaja itu turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, Pengurus Besar Yoodo Red Giants, Simon Lim dan Ketua Yoodoo, Chow Tuck Mun.

Liga Premier Futsal Kebangsaan 2024 akan bermula pada Februari dengan lapan pasukan akan mengambil bahagian bagi merebut kejuaraan dari juara bertahan, Pahang Rangers.