TAREK Salman melontarkan keyakinan membantu Qatar memberikan aksi terbaik menyingkirkan Iran apabila kedua-dua pasukan bertemu pada separuh akhir Piala Asia 2023di Stadium Al Thumama pada Rabu.
Qatar hanya tinggal dua kemenangan lagi untuk mempertahankan kejuaraan mereka dengan pemain pertahanan itu percaya mereka kekal di landasan untuk kejuaraan kedua berturut-turut.
“Pemain sudah bersedia dan semangat sangat tinggi. Semua orang dalam pasukan berazam dan komited untuk memberikan yang terbaik di atas padang,” kata Salman yang berusia 26 tahun itu kepada laman web AFC.
“Kami akan berdepan pasukan dengan pemain yang bermain bola sepak kelab di liga teratas. Itu sahaja menjadi motivasi untuk kami memberikan 100 peratus usaha untuk menang dan membawa kegembiraan kepada peminat kami.”
“Motivasi dalam pasukan kami adalah kuat. Kedua-dua pihak berazam untuk mara ke final. Bagaimanapun, kami memenangi gelaran itu pada edisi sebelum ini dan kami mahu mengulangi kejayaan itu lagi.”
Menjelang separuh akhir, Qatar memerlukan penentuan sepakan penalti untuk mengatasi cabaran Uzbekistan, tetapi Salman berkata ia adalah satu pengajaran yang berharga.
“Walaupun terdapat keraguan sesetengah pihak mengenai peluang Qatar mara ke final, pasukan kami dipenuhi dengan keyakinan dan keterujaan, didorong oleh tenaga positif.
“Iran sudah lama tidak memenangi kejuaraan dan mereka sudah pasti akan memasuki perlawanan ini dengan tumpuan yang lebih tinggi. Menghadapi mereka sudah pasti akan menjadi satu lagi cabaran yang sukar tetapi kami komited untuk memberikan prestasi terbaik kami,” katanya.