FOTO : FAM

PENGADIL dari Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin bersama dua penolong pengadil, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid meneruskan aksi mereka di pentas Piala Asia 2023 selepas mengadili perlawanan Pusingan 16 Terbaik, Uzbekistan menentang Thailand di Stadium Al Janoub, Qatar, sebentar tadi.

Ia merupakan perlawanan kedua buat trio pengadil negara itu selepas mereka turut dipilih untuk mengadili perlawanan Kumpulan D, Iraq lwn Vietnam pada 24 Januari lalu.

Prestasi pada Piala Asia 2023 ini penting buat Nazmi, Zairul dan Arif untuk memastikan mereka berada dalam senarai pendek pengadil dan penolong pengadil yang bakal dipilih untuk beberapa siri kursus dan ujian iaitu ‘FIFA World Cup Candidate’ sebagai syarat pemilihan secara merit bagi Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.