KELEKAAN pemain senior yang menerima kad dan terpaksa duduk di ‘sin bin’ jelas menjadi punca Speedy Tigers hilang arah, sebelum tumbang 3-4 kepada New Zealand dalam aksi Kumpulan B, Piala Negara-Negara 2025, pada Isnin.
Ketua jurulatih, Sarjit Singh nyata kecewa apabila pemain gagal dalam pengurusan kad menyaksikan dua “kuku” Speedy Tigers menerima kad kuning hingga merencatkan rentak pasukan ketika mereka sedang mendahului dan menguasai permainan.
“Saya harap Fitri (Saari) tahu… untuk tekanan yang dia hadapi, dia dapat kad. Pemain senior perlu lebih berhati-hati sebab pasukan perlukan mereka. Tapi saya tak salahkan sesiapa, pemain dah beri yang terbaik,” kata Sarjit mengenai kegagalan skuad negara meraih kemenangan sulung.

Malaysia yang mendahului 3-0 menerusi jaringan Akhimullah Anuar Esook, Fitri Saari dan Azrai Aizad Abu Kamal,namun longlai di suku keempat apabila tiga gol pantas New Zealand dan satu jaringan lewat permainan menjadikan kedudukan 4-3.
Situasi bertambah rumit apabila Fitri diarah meninggalkan padang selepas menerima kad kuning pada minit ke-44 menyaksikan Malaysia beraksi kurang seorang pemain dalam tempoh hampir 10 minit, membuka ruang untuk New Zealand memanfaatkan kelebihan tersebut.
Penjaga gol, Hafizuddin Othman mengakui beberapa turnover dan kesilapan mudah mendedahkan pasukan kepada serangan lawan di penghujung perlawanan: “Kita kurang orang, memang susah nak main.”
Bagaikan tradisi, skuad negara mampu menjadi ancaman menggerunkan di awal permainan namun mula hilang fokus di penghujungnya hingga mengundang padah, dan masalah ini masih gagal diatasi Sarjit.