PEMINAT hoki tanah air bakal menikmati liputan menyeluruh Kejohanan Hoki  Piala Dunia Remaja 2025 apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil sebagai penyiar rasmi yang akan menyiarkan kesemua perlawanan secara langsung bermula 28 November hingga 10 Disember.

Aksi pembukaan antara Jerman menentang Afrika Selatan di Stadium Hoki Madurai pada esok akan menjadi permulaan kepada lapan hari saingan sengit yang turut membabitkan 24 pasukan remaja terbaik dunia.

RTM melalui saluran Sukan RTM dan Okey akan membawakan setiap perlawanan termasuk siaran sorotan harian selama 30 minit pada penghujung setiap hari kejohanan, memastikan peminat tidak terlepas sebarang detik menarik dari Tamil Nadu.

Perlawanan tumpuan pastinya melibatkan Malaysia yang akan membuka kempen menentang Austria pada 29 November jam 1:45 petang waktu Malaysia sebelum berdepan Belanda dan England dalam saingan peringkat kumpulan E.

Final dijadual berlangsung pada 10 Disember jam 8.15 malam, disiarkan secara langsung di kedua-dua saluran utama RTM.

Liputan komprehensif oleh RTM kali ini menegaskan komitmen penyiar nasional itu untuk terus menyokong pembangunan sukan negara dengan membawa setiap detik perlawanan hoki negara ke kaca televisyen seluruh Malaysia.