BAHANG Sukan Malaysia bagaikan sudah mula dirasai apabila pemilih rekod kebangsaan acara lontar peluru, Jonah Chang Rigan melaungkan amaran mahu muncul Olahragawan Sarawak di temasya sukan kebangsaan itu di  Sarawak.

Menyedari jadual padat sepanjang tahun ini, atlet berusia 21 tahun itu berkata, dia menambah kepadatan jadual hariannya apabila bakal menyambung pelajaran.

Menurutnya, dalam kesibukannya itu, dia masih menyasarkan tiga emas di Sukma yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini, menerusi lontar peluru, lempar cakera dan baling tukul besi.

Sukma 2024 di Sarawak, menjadi penyertaan terakhir Jonah Chang Rigan.

“Ia menjadi Sukma terakhir saya di negeri kelahiran saya, sudah pasti saya tak mahu melepaskan peluang untuk bergelar Olahragawan Sarawak dengan menghadiahkan tiga emas.

“Memang tidak mudah, saya perlu melipat gandakan latihan tapi saya yakin tiga emas bukan satu yang mustahil,” katanya.

Pemilik rekod kebangsaan lontar peluru dengan balingan sejauh 17.67m yang dilakukannya ketika Kejohanan Olahraga Antarabangsa Mokpo, Korea Selatan, Oktober tahun lalu, mahu mencipta rekod baharu kebangsaan tahun ini dengan balingan 18m.

Jonah Chang turut bersaing dalam acara baling tukul besi.

“Selain sasaran tiga emas di Sukma, saya masih mengharapkan dapat mencecah balingan 18m. Masih jauh untuk mencapainya, tetapi tidak terlalu jauh berbanding balingan terbaik saya iaitu 17.67m tapi saya yakin saya boleh lakukannya.

“Tahun ini ada dua kejohanan di luar negara Kejohanan Terbuka Filipina Mei dan All Comers Korea pada akhir Jun jadi saya harap dapat lakukannya di sana,” katanya.

Dalam pada itu, pada minggu lalu, Jonah tidak berdepan masalah mengekalkan kedudukan nombor satu negara dalam acara lontar peluru negara, apabila meraih emas di Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers 2024 dengan lontaran sejauh 16.97m.

Pada kejohanan itu juga dia turut mengenetepikan jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli daripada MSN Para, yang menyambar pingat perak dengan catatan 16.17m dan gangsa milik Muhammad Luqman Hakim Baharudin dengan balingan 13.41m.