YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Yang Mulia Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), di Istana Negara pada Ahad.

Turut hadir dalam sesi menghadap yang berlangsung adalah Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC ) Datuk Seri Windsor Paul John.

Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima sembah taklimat mengenai pembinaan Stadium AFC, bernilai USD50 juta dan berkapasiti 10,000 penonton, oleh AFC dengan kerjasama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), di Putrajaya.

Menurut perkongsian di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai perkembangan semasa program-program dan aktiviti-aktiviti AFC dan FIFA di benua ini dan juga persiapan penganjuran Piala Dunia Qatar 2022.

Qatar merupakan negara Islam dan negara Asia Barat pertama dipilih menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA yang dijadualkan berlangsung bermula pada 20 November hingga 18 Disember 2022.

Temasya sukan bola sepak tersebut turut akan menyaksikan penyertaan terbaik negara-negara benua Asia, iaitu Qatar selaku tuan rumah, Arab Saudi, Iran, Korea Selatan dan Jepun, dan rantau ini, iaitu Australia.

Seri Paduka Baginda dijadualkan berkenan berangkat menyaksikan Piala Dunia Qatar 2022 atas persilaan Kerajaan Qatar kepada Baginda.

Kali terakhir Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Yang Mulia Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa di Istana Negara ialah pada 7 November 2019 sempena majlis penganugerahan ‘AFC Diamond of Asia’ kepada Baginda.

Anugerah yang berprestij itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Seri Paduka Baginda selama lebih tiga dekad terhadap permainan bola sepak di benua ini.

Penglibatan aktif Seri Paduka Baginda dalam sukan bola sepak diperingkat domestik dan rantau antarabangsa sangat terserlah menerusi pengalaman Baginda menerajui beberapa persatuan-persatuan sukan tersebut di dalam dan di luar negara.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah Naib Presiden AFC, Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Seri Paduka Baginda juga telah mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih antara tiga Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA mewakili Asia bagi penggal 2015-2019.