PASUKAN bola sepak kebangsaan sebenarnya mengalami kerugian besar kerana tewas menentang Vietnam dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Hanoi pada Selasa. Anak didik Kim Pan-gon juga terancam tersingkir awal daripada peringkat Kumpulan B.

Kekalahan 0-3 kepada Vietnam bermakna kekalahan berganda buat Malaysia. Mereka gagal menduduki kedudukan teratas dan kini perbezaan gol berada pada tahap +3, setaraf dengan Singapura.

Malaysia kini tiada pilihan selain terpaksa menunggu keputusan akhir pertembungan Singapura dan Vietnam yang berlangsung pada Jumaat malam.

Jika perlawanan antara Singapura dan Vietnam berkesudahan seri, ancaman bahaya kepada Harimau Malaya akan menjadi lebih besar.

Singapura yang diperkuat Irfan Fandi hanya memerlukan keputusan seri menentang Malaysia pada perlawanan terakhir untuk layak ke separuh akhir.

Dalam perlawanan lain, Vietnam akan bertemu Myanmar. Dengan mengandaikan perlawanan Singapura dan Vietnam berakhir dengan keputusan seri, Vietnam sekali lagi hanya memerlukan keputusan seri pada perlawanan akhir untuk layak kerana mempunyai kelebihan pada perbezaan gol.

Jika Singapura mampu menewaskan Vietnam, keadaan bahaya juga akan lebih dekat dengan Malaysia. Ini kerana skuad negara mesti menang dan perlu bersedia untuk mengira perbezaan gol menentang Vietnam dan Singapura dalam perlawanan terakhir.

Keadaan akan menjadi lebih mudah buat Malaysia jika Vietnam berjaya menewaskan Singapura. Jadi, Malaysia akan lebih baik menerusi perbezaan gol dalam perlawanan terakhir menentang Singapura.

Ini bermakna Malaysia hanya memerlukan keputusan seri untuk memastikan tiket ke separuh akhir Piala AFF.

Bagaimanapun, Sulaiman Hussin yang membimbing Kuching City FC tetap meyakini peluang pasukan negara mara ke peringkat separuh akhir.

“Saya kekal optimis. Kita boleh berada pada kedudukan top four pada ketika ini dibelakang Vietnam dan Thailand serta Indonesia.

“Insya Allah, Malaysia boleh atasi Singapura di Bukit Jalil hadapan penyokong sendiri. Permainan Malaysia sudah banyak berubah di bawah KPG tetapi kena lebih tersusun dan elak lakukan kesilapan seperti dipamerkan menentang Vietnam tempoh hari,” katanya.